PADA hari Khamis yang lalu bersamaan 15 Mei, wartawan dan jurugambar portal TUPAI sempat meluangkan masa bersama beberapa pihak media yang lain untuk menjengah ke lokasi penggambaran filem “Big Fortune Hotel” di sekitar kawasan Serendah, Selangor.
Filem yang dibintangi oleh pelakon hebat seperti Pakho Chau, Shiga Lin dan beberapa lagi bintang ternama Hong Kong ini mendapat sentuhan kreatif hasil arahan pengarahnya, Stephen Yip.
Mari kita ikuti temubual eksklusif bersama pengarah dan teraju utama bagi filem ini.
Salam sejahtera dan apa khabar anda semua?
Stephen Yip: Hai semua, saya dan kru produksi yang lain sihat sahaja di sini.
Pakho Chau: Selamat sejahtera kepada anda semua, saya baik-baik sahaja seperti yang anda lihat sekarang ini.
Shiga Lin: Hai, selamat tengahari semua, terima kasih kerana sudi datang ke sini berjumpa dengan kami.
Boleh ceritakan serba sedikit mengenai proses penggambaran yang dijalankan di Malaysia dan boleh terangkan mengapa anda memilih negara ini sebagai lokasi penggambaran?
Stephen Yip: Pihak produksi kami telah membuat perancangan untuk menjalani penggambaran di sini selama lima hari kerana kebanyakan adegan penggambaran bagi filem “Big Fortune Hotel” ini akan menggunakan latar belakang beberapa lokasi di negara ini. Kami memilih Malaysia kerana di sini mempunyai banyak tempat yang menarik yang sesuai dengan perjalanan plot cerita ini dan juga saya difahamkan di negara ini sangat kaya dengan keindahan alam semulajadi yang mana agak sukar untuk didapati di negara yang maju seperti Hong Kong yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan pencakar langit.
Apakah tema dan jalan cerita yang ingin ditampilkan dalam filem ini?
Stephen Yip: Filem ini mengangkat tema seram, misteri dan ngeri di mana ianya mengisahkan tentang seorang komposer muzik yang suka menulis lirik lagu dan berjaya dalam kerjayanya.
Pada suatu hari, dia mendapati kekasihnya telah meninggal dunia secara tiba-tiba dan mengakibatkan dirinya dihimpit kesedihan dan tertekan. Oleh itu, dia telah membawa dirinya ke Malaysia dan apabila berada di sini dia menemui satu persatu petunjuk yang mempunyai kaitan dengan punca kematian mengejut teman wanitanya itu.
Memandangkan filem ini bertema seram dan ngeri, adakah perkara yang tidak diingini berlaku semasa proses penggambaran?
Pakho Chau: Buat masa ini, tiada apa-apa perkara yang seram dan pelik yang berlaku semasa kami berlakon dan demi keselamatan pihak produksi telah meletakkan kemenyan di sekitar kawasan penggambaran dan berharap tiada apa-apa yang datang menggangu kami.
Shiga Lin: Saya pun berharap begitu, tiada benda halus yang datang dan mengganggu kententeraman kami di sini. Doakan semoga kami selamat di sini dan semuanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.
Bilakah filem ini akan ditayangkan dan boleh cerita sedikit mengenai watak-watak jahat dan baik dan apakah cabaran yang dihadapi sepanjang menjalani aktiviti penggambaran filem di sini?
Stephen Yip: Filem ini kemungkinan besar akan ditayangkan pada perayaan Halloween kerana amat sesuai dengan penceritaan filem ini yang seram dan misteri.
Watak dan perwatakan tidak boleh lagi dikongsikan buat masa ini, anda semua harus tunggu filem ini siap dan ditayangkan di pawagam nanti. Cabaran yang dihadapi adalah cuaca kerana beberapa hari sebelum ini berlaku hujan lebat dan sedikit sebanyak menyukarkan kami untuk melakukan penggambaran.
Pakho Chau: Secara peribadi, saya menghadapi masalah semasa melakonkan adegan menaiki basikal kerana semasa kecil dahulu saya pernah mengalami kemalangan akibat daripada menunggang basikal.
Shiga Lin: Ini adalah pertama kali saya harus membonceng basikal dan untuk merealisaikannya di dalam filem agak sukar kerana perlu membiasakan diri terlebih dahulu.
Apakah perkara yang kelihatan menarik di mata anda mengenai Malaysia selama beberapa hari berada di sini?
Stephen Yip: Di sini semua makanannya enak-enak belaka sehingga kami semua tidak tahu apa yang harus dipilih untuk dimakan kerana semuanya sedap dan banyak pilihan makanan yang boleh diperolehi.
Shiga Lin: Malaysia sangat istimewa dan saya berasa gembira sepanjang berada di sini. Sebelum ini saya kerap datang untuk melancong di sini dan berharap dapat menghasilkan sebuah lagu untuk dipasarkan di negara ini.
Apakah harapan anda untuk filem ini di pasaran Malaysia?
Stephen Yip: Harapan kami semua agar filem ini dapat ditonton oleh semua penonton di Malaysia tidak kira bangsa dan agama. Seperti yang kita tahu, Malaysia mempunyai kepelbagaian bangsa dan budaya, jadi saya harap penonton Melayu, Cina dan India dapat hadir ke pawagam apabila filem ini ditayangkan nanti.
Baiklah, terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjawab pelbagai pertanyaan dari kami.
Stephen Yip, Shiga Lin & Pakho Chau: Sama-sama, terima kasih banyak-banyak kepada semua kerana sudi hadir melawat lokasi penggambaran kami di sini.
Sumber: Tupai
0 comments:
Post a Comment