IPOH: Seorang pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) maut ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam, dipercayai selepas dipaksa meminum racun oleh tiga individu tidak dikenali, berhampiran kuil di Taman Falim Indah, di sini.
Difahamkan, kejadian pada Khamis lalu, kira-kira jam 6.10 pagi itu, M Anathan, 43, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sini sebelum dihampiri tiga lelaki menaiki dua motosikal.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata suspek berpura-pura menyamar sebagai anggota polis.
Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit dikatakan mendesak mangsa mengeluarkan kad pengenalan namun mangsa enggan kerana syak sesuatu yang tidak kena.
Beliau berkata, tindakan mangsa menimbulkan ketegangan hingga memaksa salah seorang suspek mengeluarkan pisau dan bertindak kasar. Mangsa juga didakwa diarah mengeluarkan wang yang ada manakala kedua-dua tangannya dipegang.
“Kemudian seorang daripada suspek mengeluarkan botol dipercayai mengandungi racun dan menuangkan ke dalam mulut mangsa. Ketiga-tiga suspek melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM100,” katanya.
Chang Keong berkata, mangsa bergegas ke HRPB bagi mendapatkan rawatan lanjut dan ketika itu keadaannya sudah kritikal.
“Mangsa dilaporkan mati di HRPB pada jam 5.16 pagi semalam dan siasatan awal mendapati racun digunakan mangsa adalah dari jenis ‘paraquat’,” katanya.
Sumber: BH
0 comments:
Post a Comment