Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, May 30, 2014

No Comment

ANALISIS KIRAAN detik hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan hanya kurang 24 jam sahaja lagi.
Debaran semakin memuncak dalam penentuan 'finale' satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong, 53, dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27.

PRK Teluk Intan menyaksikan pertaruhan BN menurunkan seorang calon yang tewas dua kali berturut-turut di dalam pilihan raya terdahulu tetapi mempunyai banyak pengalaman manakala DAP mencalonkan muka baharu yang masih mentah tetapi mungkin mempunyai aura tersendiri yang boleh mempengaruhi pengundi.

Berdasarkan kempen, ceramah dan 'walkabout' yang dilakukan kedua-dua parti sejak hari penamaan calon, Dyana dilihat lebih popular dalam strateginya untuk memperkenalkan dirinya kepada khalayak.

Populariti itu dinilai berdasarkan rasa ingin tahu rakyat Teluk Intan terhadap calon bukan anak tempatan yang belum lagi membuktikan khidmatnya di sini. Kecantikan dan personaliti ceria Dyana turut menjadi 'magnet' penarik perhatian ramai.

Pembangkang turut berusaha menumpukan pengundi muda dan pengundi luar yang mempunyai kekuatan dalam pengundian.

Calon DAP itu bijak merencanakan strategi dengan membawa tokoh-tokoh pembangkang yang berpengaruh untuk turut serta di dalam kempennya.

Nampak perbezaan ketara dari segi sambutan kempen terutama ceramah yang dianjurkan pihak Dyana sekiranya ada atau tanpa penglibatan nama-nama besar dalam Pakatan Rakyat baik DAP, PKR mahupun PAS.

Walaupun sekadar ceramah kelompok tanpa pemimpin-pemimpin pembangkang, sekiranya Dyana benar-benar mempunyai potensi untuk menjadi wakil rakyat pilihan ramai, sudah tentu sambutannya turut menggalakkan tetapi malangnya tidak.

Jika ditoleh pula kepada calon BN, mungkin Mah sedikit tenggelam dari segi kempennya di tempat-tempat awam tetapi Presiden Gerakan ini juga mempunyai strategi tersendiri untuk meraih sokongan pengundi.

Mah memegang gelaran 'orang lama' bukan semata-mata disebabkan jurang usia 26 tahun antara beliau dan calon DAP itu.

Hal ini kerana Mah sudah pun dikenali di Teluk Intan menerusi baktinya kepada rakyat sejak menjadi ahli parlimen di sini selama dua penggal.

Malah khidmatnya masih berterusan selepas tewas di tangan Seah Leong Peng dan M. Manogaran kedua-duanya dari DAP selama dua penggal berturut-turut.

Oleh itu, Mah lebih menumpukan pendekatan yang lebih dekat di hati rakyat, menerusi kunjungannya dari rumah ke rumah di samping memberikan penerangan dan penjelasan berhubung isu-isu yang dibangkitkan pengundi.

Sebagai Presiden Gerakan, parti komponen BN, Mah mempunyai kelebihan untuk berbincang dengan Kerajaan Pusat.

Sebarang rancangan dan cadangan untuk kepentingan rakyat Teluk Intan lebih mudah disuarakan menerusi peranan yang dibawa Mah dalam parti di peringkat kebangsaan.

Berdasarkan tinjauan, rakyat Teluk Intan masih memerlukan khidmat Mah yang sudah pun terbukti pengalamannya sebagai ahli dewan undangan negeri (Adun), ahli parlimen, timbalan menteri dan kini presiden parti.

Dalam tinjauan juga, penyokong-penyokong DAP sudah tentu akan memilih Dyana kerana reputasi parti dinaunginya itu meskipun keupayaannya sebagai wakil rakyat masih menjadi tanda-tanya.

Dahulunya Dyana diperkatakan sebagai calon 'underdog' tetapi beliau dilihat semakin kuat memperoleh pengaruhnya manakala calon BN pula yang dilabel sebagai 'underdog'.

Siapa pun calon 'underdog', kedua-duanya mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Dalam manifesto DAP, Dyana menyuarakan banyak pembangunan lebih berpusat di sekitar Kuala Lumpur dan sekiranya dipilih wakil rakyat, beliau akan melawan pemusatan itu agar pekan-pekan seperti Teluk Intan boleh dimajukan.

Namun apabila ditanya berkali-kali mengenai apakah idea pembangunan beliau, Dyana tidak tidak menjawab, sebaliknya hanya menunding jari kepada kerajaan BN yang didakwanya tidak mengotakan janji di Teluk Intan.

Calon itu lebih mempersoalkan sesuatu isu lapuk sedia ada seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), rasuah dan salah guna kuasa yang akan dibangkitkan di Parlimen.

Nampaknya, Dyana sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat hanya akan melawan dasar kerajaan dan membantah itu ini daripada mengemukakan idea baharu yang lebih segar untuk kepentingan rakyat.

Beliau yang masih muda sepatutnya menggunakan kelebihan itu untuk memancing pengundi di Teluk Intan terutama golongan sebayanya dengan idea-ideas original dan kreatif.

Dyana tidak perlu 'mengulang tayang' atau 'cut and paste' (potong dan tampal) perkara atau isu yang sering kali dimainkan oleh wakil-wakil rakyat lain sama ada pembangkang mahu pun BN.

Malulah kalau orang baharu lagi muda tidak kreatif.

Tidak dinafikan, Mah bukannya calon popular dalam pilihan raya kecil ini jika dibandingkan dengan Dyana, tetapi apabila dilihat  manifesto calon BN itu untuk rakyat Teluk Intan, ianya lebih 'berisi'.

Ia lebih bersifat eksklusif, inklusif dan kreatif menerusi idea baharu untuk kebajikan rakyat Teluk Intan dan pembangunan di kawasan parlimen itu.

Cadangan beliau untuk meletakkan Menara Condong Teluk Intan supaya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) begitu jelas ia lain dari yang lain.

Walaupun ada pihak hanya melihat cadangan itu hanya akan memberi keuntungan sektor pelancongan di Teluk Intan, tetapi kesannya jauh lebih hebat.

Jika ia direalisasikan, Teluk Intan bukan sahaja akan lebih dikenali sebagai pusat pelancongan bahkan akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat.

Maksudnya, setiap apa yang dibentangkan oleh Mah dalam manifestonya lebih bersifat 'semua dalam satu', secara spesifik sama ada tersurat atau tersirat, kesemuanya memberi faedah kepada rakyat secara menyeluruh.

Malah tindakan Dyana untuk melawan pemusatan di ibu negara dilihat lebih berhasil menerusi idea Mah dalam manifestonya seperti penubuhan universiti dan pengiktirafan menara condong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis bersedia untuk memberikan jawatan dalam Kabinet kepada Mah sekiranya Presiden Gerakan itu memenangi PRK Teluk Intan.

Itu jaminan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) buat Mah dan seluruh rakyat di Teluk Intan.

Difahamkan kemungkinan kekosongan jawatan Menteri Pengangkutan yang kini dipangku oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan diisi Mah sekiranya beliau dipilih sebagai wakil rakyat.

Jika Dyana yang dipilih, beliau akan terus membangkitkan isu-isu nasional di parlimen tanpa sebarang pengkhususan buat kepentingan rakyat di Teluk Intan.

Hari mengundi PRK Teluk Intan pada Sabtu ini bakal memperlihatkan rakyat memperjudikan nasib mereka dan kawasan itu.

Siapa pun calon yang dipilih itu hak dan keputusan lebih 60,000 pengundi kerana pilihan rakyat bertunjangkan demokrasi.

Sama ada mempunyai pengalaman dan pengaruh mahupun tidak, antara Mah dan Dyana yang bakal dipilih ini diharapkan tidak memperjudikan nasib rakyat yang menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap mereka.

Sumber: mStar

0 comments:

Post a Comment