Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, May 10, 2014

No Comment

NAY PYI TAW – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari ini, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-24 dan sidang kemuncak berkaitan bermula hari ini.

Pesawat khas yang membawa Perdana menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Nay Phi Taw pada pukul 2.30 petang waktu tempatan.

Mereka disambut Duta Besar Malaysia ke Myanmar Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad, Menteri Pengangkutan Kereta Api Myanmar U Than Htay dan isteri Daw Soe Wut Yee.

Najib, yang mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak dua hari itu, dijadualkan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Presiden Myanmar U Thein Sein untuk mengalu-alukan Ketua Negara dan Kerajaan Asean, malam ini.

Esok, beliau akan menghadiri majlis perasmian, sesi Plenari dan Permukiman Sidang Kemuncak Asean Ke-24, di mana pemimpin-pemimpin dijangka menerima Perisytiharan Nay Pyi Taw tentang usaha merealisasikan Komuniti Asean menjelang 2015, dan terma rujukan Setiausaha Agung Asean sebagai penyelaras Bantuan Kemanusiaan Asean.

Najib akan juga menghadiri beberapa pertemuan luar acara dengan wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen Asean (Aipa), Pertubuhan Masyarakat Sivil, belia Asean, Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-10 dan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-8.

Sidang kemuncak Asean ini berfungsi sebagai platform bagi para pemimpin serantau menilai dan mengkaji pelaksanaan Pelan Hala Tuju Komuniti Asean.

Pertemuan ini juga membolehkan para pemimpin bertukar pandangan mengenai hala tuju masa depan Asean dan hubungan luar serta beberapa isu serantau dan antarabangsa.

Myanmar menjadi pengerusi sidang kemuncak untuk pertama kalinya tahun ini selepas negara ini menyertai Asean pada 1997.

Sidang Kemuncak Asean ke-24 selama dua hari bertema “Moving Forward to a Peaceful and Prosperous Community (Melangkah Ke Arah Komuniti yang Aman dan Makmur)”.

Asean atau Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara yang ditubuhkan pada 1967 itu, menggabungkan Brunei Darussalam, kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment