KUANTAN – Sekumpulan peminat bola sepak yang gagal mendapat tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT), mencetuskan kekecohan apabila merempuh masuk ke kaunter jualan di Stadium Darul Makmur di sini, hari ini.
Mereka dipercayai tidak berpuas hati kerana 32,500 keping tiket untuk penyokong Pahang menyaksikan pertemuan malam esok itu habis dijual dalam tempoh tidak sampai dua jam.
Bagaimanapun, kekecohan itu dapat diredakan oleh anggota keselamatan yang berkawal di kaunter jualan tiket terbabit.
Terdahulu, tinjauan di situ mendapati peminat membanjiri kawasan stadium sejak awal pagi untuk mendapatkan tiket terbabit walaupun kaunter jualan hanya dibuka pada pukul 9 pagi.
Seorang penyokong wanita Slina Awang, 48, berkata dia bersama dua anaknya tiba di stadium itu pada pukul 8.15 pagi dan berbaris di kaunter khas untuk wanita selama sejam apabila dimaklumkan tiket habis dijual.
“Saya memang kecewa kerana tiket habis, tetapi yang lebih mengecewakan saya apabila kaunter khas untuk wanita turut digunakan oleh kaum lelaki,” katanya kepada Bernama.
Seorang lagi penyokong yang kecewa, Khairul Azmi Bakar, 32, berkata dia menunggu hampir dua jam untuk mendapatkan tiket.
Rata-rata peminat yang gagal mendapatkan tiket juga tidak berganjak dari kaunter jualan utama sekalipun kaunter terakhir ditutup pada pukul 10.30 pagi.
Mereka turut berkumpul di pekarangan stadium sebelum diiring keluar oleh anggota polis pada jam 11 pagi.
Malam esok, JDT akan bertandang ke Stadium Darul Makmur dalam pertemuan kedua separuh akhir Piala FA.
Dalam pertemuan pertama di Stadium Larkin, kedua-dua pasukan seri 1-1.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment