Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, October 30, 2013

No Comment

MELAKA – Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dan Perpustakaan Jalur Lebar (PJL) wilayah selatan terbukti memberi manfaat apabila lebih 1.7 juta penduduk luar bandar di Melaka dan Johor menggunakan kemudahan itu, sehingga kini.

Daripada jumlah itu, seramai 1,474,868 pengguna menggunakan sebanyak 49 PI1M dan enam PJL di Johor sementara seramai 280,434 orang menggunakan 16 PI1M dan lima PJL di Melaka.

Pemangku Ketua Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Wilayah Selatan Roszeta Kassim berkata PI1M dan PJL yang bertujuan merapatkan jurang digital komuniti setempat itu juga berjaya melatih seramai 102,780 pelatih berhubung peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) terkini dan pendedahan terhadap aplikasi komputer secara percuma.

Beliau berkata antara modul yang digunakan dalam latihan termasuk penyuntingan imej, pemasangan komputer serta pembangunan dan pengurusan kandungan laman web.

“SKMM juga mendaftarkan seramai 47,684 ahli yang hanya perlu membayar RM5 sekali daftar dan boleh menikmati kemudahan komputer serendah RM1 sejam berbanding kafe siber yang mengenakan caj kira-kira RM4 sejam,” katanya kepada Bernama di sini.

Roszeta berkata hasil kutipan itu bukan bertujuan mencari keuntungan sebaliknya digunakan untuk membiayai aktiviti dan program bersama masyarakat setempat seperti program ‘klik dengan bijak’ dan ‘get business online’.

Dalam pada itu, katanya enam lagi PI1M bakal dibuka di Johor termasuk di Kampung Parit Salleh Haji Ros dan Sungai Nibong Darat di Batu Pahat manakala dua di Melaka melibatkan Kampung Duyong Tengah dan Kampung Klebang Besar di sini.

Katanya penambahan PI1M itu bakal memberikan akses ICT lebih luas kepada penduduk setempat di samping meningkatkan taraf ekonomi mereka melalui penggunaan Internet.

Sementara itu, Pengurus PI1M Kampung Machap Air Pasir, Durian Tunggal Faezah Noor Misnon berkata pusat itu menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat khususnya pelajar sekolah yang menggunakan kemudahan komputer dan Internet untuk mencari maklumat.

“Penduduk di sini kebanyakannya menjalankan aktiviti pertanian seperti tanaman kelapa sawit, getah dan buah-buahan, jadi ada antara mereka yang melayari Internet untuk mengetahui maklumat bidang pertanian dan ada juga yang melayari laman sosial seperti Facebook,” katanya yang telah berkhidmat di PI1M berkenaan sejak ia dibina pada 5 Jan 2009.

Katanya sepanjang Jan hingga Sept tahun ini, seramai 1,231 penduduk menggunakan kemudahan di pusat berkenaan. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment