Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, September 9, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Laporan awal siasatan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 mengandungi input daripada pasukan penyiasat Malaysia yang menjalankan usaha mencari di lokasi nahas di timur Ukraine.

Dokumen itu, yang disediakan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB), menyatakan para penyiasat Malaysia mengemukakan gambar dan laporan mengenai siasatan di tapak nahas selepas tragedi 17 Julai, yang mengorbankan semua 298 orang yang berada di dalam pesawat itu.

"Siasatan itu dijalankan atas inisiatif sendiri antara 22 Julai dan 24 Julai, 2014. Maklumat yang diterima digunakan dalam siasatan Lembaga Keselamatan Belanda," kata laporan itu.

Laporan 34 muka surat itu mengandungi maklumat awal siasatan terhadap nahas membabitkan pesawat B777-200 Malaysia yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.

DSB menyatakan pasukan antarabangsa penyiasat keselamatan udara belum mendapat akses selaras untuk ke tapak nahas.

"Lembaga Keselamatan Belanda mempunyai hasrat untuk melawat ke tapak itu apabila keadaan memungkinkannya untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap bangkai pesawat," kata laporan itu.

Ia berkata bahawa para penyiasat dari Biro Nasional Penyiasatan Kemalangan Udara Ukraine (NBAAI) telah melakukan beberapa lawatan singkat ke tapak nahas itu antara 19 dan 21 Julai.

Gambar-gambar yang diambil oleh pasukan NBAAI telah dikemukakan kepada pasukan penyiasat.

Susulan nahas itu, Malaysia telah menghantar beberapa pasukan ke Ukraine termasuk anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Bantuan Bencana Malaysia (SMART) serta pegawai perubatan.

Beberapa menteri kabinet Malaysia juga berlepas ke Ukraine untuk memudahkan siasatan itu.

Mereka termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kini berada di Kiev untuk mendapatkan laluan selamat bagi para penyiasat Malaysia memasuki tapak nahas, yang terletak di kawasan bergolak Ukraine.

Laporan awal menyebut bahawa NBAAI memulakan siasatan pada hari nahas berlaku tetapi mentauliahkannya kepada Lembaga Keselamatan Belanda pada 23 Julai.

Lembaga itu berhasrat menyiarkan laporan siasatan dalam tempoh setahun mulai tarikh nahas berlaku.

Laporan itu menyatakan selain Ukraine dan Malaysia, Lembaga Keselamatan Belanda dibantu oleh pakar dari Australia, Perancis, Jerman, Indonesia, Itali, Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah serta Jawatankuasa Penerbangan Interstate.

Mereka yang terkorban dalam nahas itu ialah 193 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, 27 warga Australia, 12 warga Indonesia, 10 rakyat United Kingdom, empat warga Jerman, empat warga Belgium, tiga rakyat Filipina serta seorang rakyat Kanada dan seorang warga New Zealand. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment