Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, September 30, 2014

No Comment

Dr Abdul Aziz Bari tidak terganggu dengan siasatan polis terhadapnya mengikut Akta Hasutan, dan menegaskan beliau hanya menjawab soalan yang dikemukakan hadirin kepadanya semasa sebuah forum mengenai kes menteri besar Selangor.

Profesor undang-undang yang juga pakar perlembagaan itu berkata, beliau menerima panggilan daripada polis hari ini mengarahkannya hadir di Balai Polis Sabak Bernam pada 11 pagi esok untuk direkodkan kenyataan.

Hampir 100 laporan polis dibuat terhadap Aziz ekoran kenyataannya dalam forum itu seperti disiarkan melalui dua artikel berita di The Malaysian Insider.

Artikel berkenaan, "Sultan Selangor terikat Deklarasi 1992, perlu lantik Wan Azizah, kata Aziz Bari" disiarkan pada 1 September dan "Only God, not Sultan, has absolute powers, says legal expert" disiarkan pada 9 September lalu.

Aziz berkata, beliau pernah melalui situasi sama pada 2011 kerana mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu serbuan kontroversi Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) yang disifatkannya 'luar biasa dan tidak konsisten'.

Laporan awal The Malaysian Insider menyatakan Aziz bakal menjadi pensyarah undang-undang kedua yang disiasat mengikut Akta Hasutan selepas profesor daripada Universiti Malaya (UM) Dr Azmi Sharom.

"Saya dimaklumkan oleh polis laporan dibuat terhadap saya berhubung beberapa artikel yang memetik kenyataan saya, namun tidak menyatakan secara spesifik," katanya ketika ditemui semasa menghadiri "4th National Conference on Non-Discrimination; Unity and Social Cohesion in Malaysia – Making It Possible" sebagai penceramah di Kuala Lumpur.

Beliau mengakui tidak sedar tentang laporan polis yang dibuat terhadapnya kerana cuma menjawab soalan audiens semasa forum itu.

"Saya ada kerja dan tugas, saya dianugerahkan keistimewaan ilmu tentang Perlembagaan Persekutuan. Ilmu itu perlu dikongsi bersama," katanya.

Ditanya dirinya akan disiasat lagi mengikut Akta Hasutan, Aziz cuma mengangkat bahunya dan menegaskan semua kenyataannya itu berlandaskan undang-undang.

"Saya ditanya sama ada Sultan Selangor berkuasa mutlak membuat keputusan semasa krisis menteri besar dan saya jawab tidak.

"Saya tidak fikir itu perbuatan jenayah," katanya merujuk isu Sultan Kelantan pada 1991 yang mengkritik dan menyalahkan pemimpin Umno kerana menyebabkan negeri jatuh ke tangan PAS semasa Pilihan Raya Umum (PRU).

"Saya tidak nampak mana-mana wakil atau pemimpin Umno disiasat mengikut Akta Hasutan dari dulu sehingga sekarang," katanya yang pernah menyeru supaya kuasa raja-raja Melayu dihadkan.

Beliau turut menyifatkan siasatan kes terhadapnya merupakan dakwaan berat sebelah kerana tidak pernah mencadangkan supaya kuasa raja-raja Melayu dikurang atau dihapuskan.

"Cara penafsiran undang-undang tidak konsisten, saya tidak pernah panggi Melayu malas," katanya merujuk kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.

Dalam artikel "Sultan Selangor terikat Deklarasi 1992, perlu lantik Wan Azizah, kata Aziz Bari", Aziz memberitahu The Malaysian Insider, Sultan terikat dengan Deklarasi Prinsip Perlembagaan 1992 yang menetapkan peraturan bagi Sultan, termasuk menjelaskan peranan kerabat diraja dalam politik.

Artikel kedua "Only God, not Sultan, has absolute powers" pula berdasarkan ucapan Aziz semasa forum anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) pada 8 September bertajuk "PAS Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju".

Beliau memberitahu hadirin mengikut Perlembagaan, kuasa budi bicara Sultan dalam melantik menteri besar terhad kepada kes Parlimen tergantung.

Aziz berkata, ini tidak boleh diaplikasikan dalam kes Selangor kerana Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Siasatan polis dijangka tamat hujung minggu ini selepas kenyataan pengadu dan Aziz direkodkan.

Jika didakwa, beliau boleh dipenjarakan 3 tahun dan didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-dua sekali.

Pada 2 September lalu, Azmi didakwa mengikut Akta Hasutan kerana kenyataannya dalam satu portal online tentang krisis Perlembagaan Perak.

Aziz kini menyertai sekumpulan ahli politik pembangkang, aktivis sosial, pensyarah undang-undang, portal berita Malaysiakini dan wartawannya, seorang ustaz yang sama ada didakwa kerana menghasut, berdepan dengan perbicaraan atau sedang disiasat.

Awal bulan ini aktivis Safwan Anang dan Adam Adli Abdul Halim dijatuhkan hukuman 10 bulan dan 12 bulan penjara, kerana kenyataan dibuat dalam sebuah forum pada 13 Mei tahun lepas yang menyeru orang ramai turun ke jalan raya jika tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Seorang lagi aktivis Ali Abd Jalil berdepan 3 dakwaan menghasut kerana dikatakan menghina Sultan Johor dan Sultan Selangor di Facebook. Ali dibebaskan semalam selepas ditahan lebih 20 hari.

Jumaat lepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dirakamkan kenyataan oleh polis berhubung laporan polis dilakukan terhadapnya pada 2011, di mana beliau didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung kes liwat keduanya.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Latheefa Koya mendakwa peguam negara dan ketua polis negara (KPN) memulakan tangkapan dan dakwaan selepas mengadakan pertemuan dengan 60 Ketua Umno Bahagian pada 14 Ogos lalu.

Latheefa mendakwa, KPN dan peguam negara diarahkan Umno berbuat demikian terhadap mana-mana individu yang mengkritik kerajaan. – The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment