Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, March 27, 2014

No Comment

KUALA TERENGGANU – Malaysia masih kekurangan tenaga mahir dalam sektor tertentu, terutama industri minyak dan gas, menyebabkan syarikat bersaing mendapatkan pekerja mahir yang terhad jumlahnya bagi menyempurnakan projek Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, kekurangan tenaga mahir menyebabkan kerajaan tidak dapat memacukan sektor-sektor tertentu yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi, terutama aspek teknikal dan vokasional.

“Sebab itulah kerajaan, terutama RMK-11 yang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), banyak menekankan aspek vokasional dan teknikal.

“Sekiranya kita tidak dapat memenuhi rompong yang ada (bidang pekerja mahir), kita akan menghadapi masalah untuk membangunkan industri dan sektor yang telah dikenal pasti sebagai sektor penting untuk Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA),” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Latihan Bersepadu Minyak dan Gas Petronas (INSTEP) Batu Rakit dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Naib Presiden Bahagian Pengurusan Sumber Petronas Raiha Azni Abdul Rahman.

Khairy berkata, kerajaan komited mewujudkan sasaran peluang pekerjaan sebanyak 3.3 juta di negara ini dengan kebanyakan pekerjaan baharu dalam bidang yang bersifat kompetitif dan teknikal menjelang 2020.

“Kalau kita tidak sediakan bekalan (tenaga mahir), maka kita akan terpaksa membawa masuk tenaga mahir dari luar dan ini akan merugikan kita.

“Ini kerana tahun depan akan bermulanya Komuniti Ekonomi Asean yang membuka peluang untuk pekerja mahir berpindah dari satu negara ke negara lain di Asean. Oleh itu, kita perlulah rebut peluang ini dan menyediakan anak muda kita dalam bidang industri tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ahmad yang tertarik dengan cara pengendalian latihan INSTEP berkata kerajaan negeri akan menaja dan menghantar anak Terengganu menjalani latihan dalam bidang industri minyak dan gas yang dilihat berpotensi besar dalam industri.

“Kita akan tengok keperluan dan kemampuan, dan akan berbincang mengenai kos yang terlibat. Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) akan berbincang dengan INSTEP.

“Kerajaan Terengganu bersedia membiayai kos supaya lebih ramai golongan muda diberi latihan dalam bidang minyak dan gas,” katanya dan menambah kerajaan negeri komited membangunkan bidang pendidikan di negeri ini dengan setiap tahun kira-kira RM300 juta diperuntukkan untuk tujuan itu. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment