Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, March 31, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Bantuan diterima Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 membuktikan seluruh dunia sayang Malaysia dan rakyatnya, kata Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

“Kita menerima banyak bantuan dari aspek tenaga sekutu, pertahanan, penyelidikan, dan ‘surveillance’ (pemantauan),” katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara, BERNAMA TV di sini.

Dr Rais berkata, sifat bertanggungjawab diamalkan Malaysia dalam menangani kesulitan sekarang diterima pelbagai pihak dengan positif, sekali gus mendedahkan dan menyerlahkan kebolehan kerajaan Malaysia menangani masalah ini, walaupun ia amat rumit.

Malahan, katanya, China turut menzahirkan perasaan bahawa mereka masih bersama-sama Malaysia dan akan terus bekerjasama dalam semua bidang, walaupun majoriti penumpang pesawat tersebut adalah rakyatnya.

Penerbangan MH370, menggunakan pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dengan lebih 150 warga China, serta 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Misi SAR membabitkan 26 negara meliputi Laut China Selatan, Selat Melaka dan Laut Andaman sebelum difokuskan kepada dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand, serta koridor selatan yang meliputi Indonesia hingga ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Pada hari ke-17 pencarian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa berdasarkan analisis maklumat satelit dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”.

Pada masa sama, Dr Rais turut menekankan peri pentingnya rakyat menjaga adab semasa memperkatakan mengenai tragedi MH370 terutama apabila menggunakan media baharu.

“Yang paling perlu sekarang adalah nilai, mengamalkan nilai dan peradaban yang menghormati sesuatu perisitwa, dan menentukan kata-kata dan perbuatan kena pada tempatnya.

“Dalam keadaan MH370 kita lihat kata-kata kesat keluar, tuduhan yang tidak berasas selain daripada penulisan yang tidak bertanggungjawab, ini perlu kita banteras dan ‘political will’ (iltizam politik) memang perlu disisip,” katanya.

Kata-kata kesat, katanya, hanya akan menampakkan budaya negatif serta mencerminkan daya intelek rakyat yang rendah dan sehubungan itu beliau menasihatkan blogger agar menjaga penggunaan kata-kata supaya tidak menyinggung mana-mana pihak.

“Kita semua berasal daripada asuhan Islam, Confucious, Buddhisme, Hinduisme dan sebagainya tapi kita tidak menjelmakan nilai-nilai itu dalam tindak tanduk kita terutama yang berkaitan dengan sosial media,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan perlunya penulisan yang tepat dan objektif, untuk mengelak daripada kritikan.

Dr Rais turut menyambut baik cadangan baru-baru ini bagi diwujudkan mata pelajaran Literasi Media, namun katanya hanya celik media tidak cukup, sebaliknya mesti dilaksanakan bersama-sama dengan budaya berterus terang, bertanggungjawab serta beradab. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment