Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, March 29, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Laporan media tempatan mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berjaya menyatukan rakyat Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya beliau juga berpuas hati dengan liputan yang diberi oleh media tempatan sejak insiden itu berlaku pada 8 Mac lepas meskipun lebih banyak yang perlu difahami khususnya pada aspek teknikal.

“Saya dapati bahawa baik dalam akhbar Melayu ataupun akhbar bahasa Cina, ia telah bawa satu bentuk kesatuan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kita bersatu, sama-sama berdoa dan menyokong kepada usaha mencari pesawat yang hilang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dengan editor kanan media berbahasa Cina tempatan di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata perjumpaan itu bertujuan mendapatkan panduan daripada pemimpin media berbahasa Cina bagi meningkatkan keberkesanan interaksi dengan media China.

“Saya minta bimbingan mereka, terutama daripada akhbar berbahasa Cina kerana mereka lebih memahami dari segi apa yang berlaku di China. Mereka memberikan panduan tertentu dan saya sangat menghargainya,” kata Ahmad Shabery.

Beliau juga mengulangi ingatan agar rakyat negara ini tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau spekulasi berhubung kehilangan MH370.

Perjumpaan hampir dua jam itu dihadiri oleh 15 editor kanan media berbahasa Cina termasuk akhbar Sin Chew Daily, Nanyang, Oriental Daily, MY FM dan Ai FM.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Pada Isnin lepas, iaitu hari ke-17 operasi mencari, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom, penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment