Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 25, 2013

No Comment

BERCHAM – Serbuan sepasukan polis ke atas sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Syukur, di sini, semalam, menyaksikan berlaku adegan tembak menembak di bumbung rumah penduduk antara pasukan keselamatan itu dengan penjenayah.

Ketika serbuan dilakukan pasukan dari Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) pada jam 9.30 malam, penduduk di lorong Medan Bercham Selatan 4 dan 6 diarahkan mengosongkan rumah masing-masing, apabila seorang penjenayah yang masih bersenjata api melarikan diri melalui siling deretan rumah terbabit.

Bagaimanapun, kira-kira jam 12.30 tengah malam, beberapa das tembakan kedengaran dari lokasi kejadian menyebabkan penduduk yang berkumpul di situ melarikan diri.

Adengan lebih dua jam itu berakhir apabila polis berjaya menahan empat lelaki berusia 30-an yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penagihan dan pengedaran dadah serta menembak mati seorang lelaki di Kampung Simee pada 28 Julai lalu.

Penjenayah jatuh siling

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam memaklumkan, dua suspek berjaya diberkas di tingkat bawah rumah yang diserbu manakala dua lagi meloloskan diri melalui siling rumah sebelum salah seorang ditangkap di rumah bersebelahan selepas terjatuh dari siling.

Menurut beliau, suspek keempat berjaya lolos ke rumah bersebelahan dan telah melepaskan antara tujuh hingga lapan das tembakan ke arah apsukan keselamatan dalam cubaannya untuk melarikan diri.

“Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri sebelum suspek berkenaan terjatuh ke bahagian dapur sebuah rumah. Kita berjaya rampas pistol automaik jenis Baretta 9mm bersama kelopak dan dua peluru hidup.

“Rumah-rumah terbabit berjaya dikosongkan dan semua penduduk dipindahkan untuk keselamatan mereka semasa serbuan dijalankan. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya yang turut menegaskan bahawa operasi berkenaan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pada itu, Paramasivam berkata, polis percaya rumah yang diserbu dijadikan makmal mini untuk memproses dadah berikutan hasil pemeriksaan menemui sejumlah dadah jenis eramin 5 siap dibungkus.

Katanya, dengan penahanan suspek, polis percaya dapat menyelesaikan siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang ditembak di hadapan sebuah restoran di Kampung Simee.

“Tiga minggu lalu kita berjaya menahan tiga suspek termasuk wanita berkaitan kes berkenaan dan kali ini kita berjaya tahan empat suspek. Kes di Kampung Simee dianggap selesai.

“Siasatan akan diteruskan terhadap suspek termasuk cubaan bunuh mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (penalti lebih berat) serta Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tidak sangka jiran penjenayah

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 58 berkata, dia tidak menyangka jirannya merupakan penjenayah tegar.

Katanya, semasa kejadian berlaku dia bersama anaknya sedang mencuci kereta di halaman rumah mereka apabila terdengar suatu benda besar jatuh dari tingkat atas rumahnya.

“Pada masa yang sama, kami dapat lihat ramai anggota polis datang ke kawasan rumah dan saya bersama anak saya segera keluar dari rumah.

“Kemudian polis memasuki rumah dan menangkap seorang lelaki yang terjatuh di bilik anak saya,” katanya.

Mengakui gementar apabila mengetahui penjenayah terbabit memiliki senjata api, Tan berkata, dia terus menyorok di rumah-rumah jiran berhampiran kerana bimbangkan keselamatan diri serta takur terkena peluru sesat.

“Saya bersyukur kerana polis bertindak cepat ketika memberkas penjenayah terbabit,” katanya. – NOOR’AINON MOHAMED YUSOF/Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment