ALOR SETAR – Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak atau biasa dipanggil Ustaz Azizan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Sultanah Bahiyah, Alor Setar, jam 11.15 pagi tadi.
Azizan, Menteri Besar Kedah ke-10 juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau. Beliau menjadi Menteri Besar selepas PAS dan Parti KeADILan Rakyat membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam pilihan raya umum Malaysia 2008.
Ustaz Azizan diketahui menghidap penyakit kencing manis sejak sekian lama, selain pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2005. Sejak itu beliau terpaksa selalu ke hospital bagi menjalani pemeriksaan berkala dan mendapatkan rawatan, sehingga pernah mempengerusikan mesyuarat penting di hospital.
Pada 6 Mei 2013 beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah selepas merasa sakit di kaki seterusnya dipindahkan ke ICU di Hospital Pulau Pinang keesokan harinya, di mana kemudian beliau mengalami koma. Bagi mengelakkan jangkitan merebak, kedua-dua belah kaki beliau terpaksa dipotong di bawah lutut pada 9 Mei 2013.
Sejak itu kesihatan beliau diketahui kian merosot hinggalah menghembuskan nafas terakhir, pagi tadi.
Ustaz Azizan pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pengarah Urusan Harakah, pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sumber: Wikipedia
0 comments:
Post a Comment