Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, September 26, 2013

No Comment

TANJUNG MALIM – Seorang anggota polis berpangkat koperal, maut digilis setelah motosikal berkuasa tinggi ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Slim Lama, berhampiran Taman Malim, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa, Koperal Ramlan Ludin, 37, yang bertugas di Balai Polis Ulu Bernam, Selangor maut di tempat kejadian selepas tercampak sebelum digilis sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Allahyarham yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kota Malim Prima, di sini difahamkan baru sahaja membeli motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z800 itu, sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Proton Waja dipandu seorang wanita  keluar dari Taman Perumahan Malim menuju ke lokasi pusingan U.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi berkenaan, Ramlan, yang datang dari arah Tanjung Malim menuju Proton City tidak sempat mengelak menyebabkan rempuhan berlaku.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan. Mangsa cuba bangun, namun gagal dan dirempuh sebuah kereta Proton Saga BML.

“Mangsa yang berasal dari Sarawak maut di tempat kejadian akibat parah di kepala, tangan, perut dan kaki,” katanya.

Mayatnya dibawa ke Hospital Slim River dan jenazahnya dituntut ahli keluarga kira-kira jam 2 pagi semalam untuk dikebumikan.

Othman berkata, kedua-dua pemandu kereta dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan sebelum keterangan diambil.

”Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Allahyarham yang mempunyai empat orang anak, menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1997 dan meminati aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi. – Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment