KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS (DPP) Selangor yakin kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau akan tetap berada dalam genggaman PAS.
Ketuanya, Hasbullah Mohd. Ridzwan berkata, kerusi DUN itu yang kosong selepas kematian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak hari ini akan dipertahankan.
“DPP Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Kami berasa dukacita di atas kehilangan ini. PAS Kedah telah kehilangan `sebutir permata’ yang amat berharga dengan kehilangan ini.
“DPP Selangor beriltizam untuk memastikan kerusi DUN Sungai Limau yang disandang Azizan akan terus dipertahankan kemenangannya kepada PAS sekiranya berlaku pertandingan untuk pilihan raya kecil nanti,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Hasbullah seterusnya menyifatkan Azizan seorang pemimpin yang berkaliber dan disegani oleh kawan dan lawan.
Menurutnya, walaupun Azizan hanya mentadbir Kedah selama lima tahun tetapi penuh dengan kejayaan dan kecemerlangan,.
Bekas Menteri Besar Kedah itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Azizan, 69, yang dilaporkan kritikal semalam meninggal dunia kira-kira pukul 11.10 pagi tadi. Jenazah akan dikebumikan selepas solat asar.
0 comments:
Post a Comment