KUALA LUMPUR – “Promosi besar-besaran, publisiti meluas dan perancangan yang hebat tetapi kecundang kerana sambutan dingin penonton”.
Demikian respons Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) terhadap filem ‘Tanda Putera’ yang didakwa masih gagal menarik penonton ke pawagam meskipun telah beberapa minggu ditayangkan di pawagam.
Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil mendakwa, filem Tanda Putera semakin lesu daripada perhatian masyarakat gagal memikat hati penonton dengan jualan tiket dan kehadiran penonton yang mengecewakan.
“Malah, filem ini jauh ketinggalan berbanding filem komedi yang ringan dan rileks. Boleh dikatakan ia dianggap suatu ‘pelaburan yang tidak berbaloi’ bagi penerbit dan pihak yang terlibat menghasilkannya,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Khairul Faizi seterusnya mendakwa, sambutan dingin terhadap filem Tanda Putera kerana masyarakat telah bijak dalam menilai sesebuah filem.
Justeru, beliau meminta supaya tiada pihak menyalahkan masyarakat yang tidak mahu menonton filem itu dengan pelbagai tuduhan liar dan berat sebelah.
“Masyarakat tahu memenuhi cita rasa mereka,” dakwanya lagi.
Sebuah portal berita kelmarin melaporkan filem ‘Tanda Putera’ masih gagal menarik penonton ke pawagam walaupun mendapat publisiti meluas.
Senarai terkini dari 5 September hingga 11 September lalu yang diterbitkan cinemaonline.com.my didakwa menunjukkan filem itu terkeluar daripada senarai sepuluh filem paling laris.
Filem arahan pengarah Datuk Shuhaimi Baba itu sebelum ini turut didakwa hanya berjaya merangkul tempat keenam dalam senarai 10 filem paling laris sepanjang minggu pertama tayangannya.
Filem yang memaparkan tragedi berdarah 13 Mei 1969 itu akhirnya ditayangkan pada 29 Ogos lalu selepas tertangguh selama lebih setahun.
0 comments:
Post a Comment