KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibabitkan dalam operasi besar-besaran menahan pendatang tanpa izin yang dilancarkan semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata demikian pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin selepas majlis sambutan Aidilfitri ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di padang Istana Negara Lama di sini, sebentar tadi.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata, operasi bersepadu secara besar-besaran ini bertujuan supaya Jabatan Imigresen dapat melaksanakan operasi yang lebih efektif dan menyeluruh.
Ia bukan sahaja untuk mencari kesalahan berkaitan Akta Imigresen tetapi merangkumi kesalahan undang-undang di Malaysia. Selain kesalahan jenayah, antara masalah lain yang menjadi fokus Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah dadah dan Pati
Menurut Zahid, antara lokasi gerakan operasi bersepadu bagi memburu Pati itu adalah di pusat-pusat hiburan, kawasan perladangan dan perkilangan.
Beliau menambah, menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pati (Program 6P) yang dilaksanakan oleh KDN sebelum ini, seramai 1.3 juta Pati telah didaftarkan dan daripada jumlah itu, 500,000 Pati telah menjalani proses pemutihan serta 330,000 telah pulang ke negara asal mereka secara sukarela.
"Sepanjang operasi (Ops) 6P yang dijalankan sejak 20 Oktober 2011 sehingga 18 Julai tahun ini, kita telah membuat penangkapan seramai 40,730 Pati dan hampir 1,000 majikan.
"Daripada jumlah tersebut, 318 majikan telah didakwa dan 46 majikan telah dipenjarakan," katanya.
0 comments:
Post a Comment