Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, September 16, 2013

No Comment
Marakar menunjukkan gambar anak bongsunya yang menjadi mangsa kebakaran.

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak berumur empat tahun ditemui maut dalam bilik air utama selepas terperangkap dalam kebakaran di kediaman keluarganya di Bandar Baru Kangkar Pulai, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamed berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan anggaran jam 2 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, selepas kunci dibuka, dua kanak-kanak ditemui dalam bilik air yang mana seorang daripadanya, Muhammad Iskandar Marakar, 4, tidak berjaya diselamatkan dipercayai sesak nafas akibat asap.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa ditinggalkan bersama kakaknya yang berumur tujuh tahun selepas bapanya keluar menjemput ibunya yang pulang dari berniaga.

“Kejadian disedari jiran mangsa lebih kurang jam 1.40 pagi selepas terdengar suara budak menangis dan bunyi bising barang-barang terjatuh,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Marakar Pekar, 45, tidak menyangka rengekan anak bongsunya meminta tiga bungkus mi segera telur adalah petanda anak kesayangannya itu akan meninggalkannya selama-lamanya.

Menurutnya, pada malam kejadian sebelum kedua-dua anaknya tidur, Muhammad Iskandar sempat menjamah tiga bungkus mi segera yang diidamkannya.

Menurutnya, anggaran jam 12.30 pagi, dia bergegas meninggalkan dua anaknya yang sudah nyenyak tidur di ruang tamu untuk menjemput isterinya pulang dari berniaga di Pasar Borong Pandan.

“Lebih kurang jam 1.45 pagi, saya dikejutkan dengan panggilan jiran memberitahu rumah terbakar, saya terus memecut pulang ke rumah.

“Selepas membuka pintu, dalam keadaan gelap gelita saya mencari anak-anak di ruang tamu, tapi tak berjumpa sehingga terdengar suara batuk dari dalam bilik air,” katanya di sini, semalam.

Marakar berkata, dia segera mengangkat anak bongsunya yang ditemui tertiarap di dalam bilik air keluar dari kepulan asap tebal yang memenuhi ruangan rumah.

Menurutnya, malangnya anaknya sudah tidak bernyawa, manakala anak sulung, Siti Aishah, 7, berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

“Saya tak sangka sikapnya yang pelik menghabiskan sampai tiga bungkus mi segera yang diminta adalah petanda akan tinggalkan kami sekeluarga selama-lamanya.

“Sikapnya yang manja dan kerap bergaduh dengan kakaknya sejak akhir-akhir ini adalah kenangan yang ingin ditinggalkan untuk kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Mohd Nor Saufi Salekun, 29, berkata, dia berasa ralat kerana usaha untuk menyelamatkan kanak-kanak itu tidak membuahkan hasil.

Menurutnya, panggilan mak oleh kanak-kanak itu yang meminta diselamatkan masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Dua kali saya dengar suara kanak-kanak menyebut perkataan mak, namun saya tak mampu berbuat apa-apa kerana mangga di pintu utama tidak berjaya dibuka.

“Sampai sekarang suara itu masih terngiang-ngiang di telinga saya sehingga membuatkan saya rasa terlalu bersalah pada diri sendiri kerana tidak mampu menyelamatkan mangsa,” katanya.

0 comments:

Post a Comment