Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran sebuah rumah di Seksyen 20, Shah Alam.
SHAH ALAM - Seorang lelaki berjaya menyelamatkan seorang warga emas yang bersendirian cuba padam kebakaran di dalam rumahnya di Jalan Belalang Enam, Seksyen 20, di sini, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.55 petang itu, Lan Siew Weng, 80, cuba memadamkan api setelah colok yang digunakannya untuk bersembahyang terjatuh di bahagian dapur rumahnya.
Pada mulanya, dia cuba memadamkan api dengan menggunakan kain tetapi tidak berjaya.
Selepas usahanya tidak berjaya, dia menggunakan kuali untuk mengisi air dari paip luar rumahnya bagi memadamkan kebakaran tetapi api sudah marak ketika itu.
Melihat tindakan Siew Weng cuba memadamkan api walaupun sudah semakin marak, salah seorang jiran, Mohd Ali Aziz, 28, bertindak nekad menyelamatkan Siew Weng dengan menarik dia keluar dari rumah.
Mohd Ali berkata, dia bertindak menarik Siew Weng keluar dari rumah tersebut kerana melihat keadaan semakin berbahaya untuk Siew Weng.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Nik Mustaffa Nik Hussin berkata, pihaknya menghadapi masalah tekanan air rendah, namun ia tidak menjejaskan operasi memadam.
“Kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.58 petang dan tiba ke lokasi kira-kira 10 minit kemudian, ketika itu api sedang marak di dapur rumah tersebut,” katanya.
Menurutnya, pihaknya berjaya mengawal api daripada marak ke rumah bersebelahan kira-kira jam 5.12 petang dan padam sepenuhnya setengah jam kemudian.
“Punca dan kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment