KUALA LUMPUR – Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda Pas Malaysia (Juham) akan membawa seramai 50 peguam untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November ini.
Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, barisan peguam PAS dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang itu akan diturunkan ke setiap Unit Pembuangan Undi (UPU) Dun Sungai Limau untuk membantu jentera PAS dalam kempen parti itu mempertahankan kerusi DUN tersebut.
“Peguam Juham akan turun memberikan penerangan undang-undang kepada setiap petugas PAS di Pilihan Raya Kecil Dun Sungai Limau.
“Peguam JUHAM akan turut memberi penerangan kepada pengundi mengenai isu undang-undang seperti hak istimewa orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menangkis dakyah kononnya wakil DAP akan menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan memerintah Malaysia,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Zamri berkata, Juham akan turut membuka bilik-bilik gerakan bagi menyelaraskan gerak kerja para peguam PAS sepanjang proses pilihan raya kecil tersebut berlangsung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PKR DUN) Sungai Limau pada 4 November ini manakala hari penamaan calon pada 23 Oktober.
Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di Putrajaya semalam.
0 comments:
Post a Comment