Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, November 21, 2013

No Comment

PETALING JAYA – Pelbagai inisiatif perlu dilakukan bagi menarik lebih ramai pelabur Indonesia menerokai peluang di negara ini bagi merapatkan hubungan kedua-dua negara, kata bekas Pengerusi Mesyuarat Kumpulan Tokoh Terkemuka Malaysia-Indonesia (EPG) Tun Musa Hitam.

Beliau berkata setakat ini, kehadiran pelabur kedua-dua negara tidak seimbang ekoran jumlah pelabur Indonesia di sini adalah kecil berbanding pelabur Malaysia di negara itu sedangkan banyak peluang sedia untuk diteroka, termasuk dalam industri kecil dan sederhana.

“Kita juga perlu melakukan sesuatu agar golongan profesional dari Indonesia juga tertarik untuk datang ke Malaysia dan bekerja kerana majoriti yang datang ke sini adalah untuk bekerja sebagai pembantu rumah atau sebagainya.

“Sedangkan dahulu kita pernah mengimport golongan profesional seperti doktor gigi dan guru dari Indonesia dan kehadiran golongan profesional ini meningkatkan persepsi rakyat terhadap Indonesia,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Sehari Malaysia-Republik Indonesia di sini hari ini.

Persidangan bertajuk ‘Panas-Dingin Hubungan Malaysia-Indonesia: Membina Iklim Saling Percaya’ adalah anjuran bersama Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan Universiti Malaya serta Institut Pemerintahan Dalam Negeri (IPDN) Kementerian Dalam Negeri Indonesia.

Pembantu Rektor Bidang Akademik IPDN Profesor Dr Wirman Syafri Sailiwaberkata kekurangan pendedahan dan pengetahuan mendalam tentang sumber alam yang ditawarkan Malaysia mungkin menjadi punca pelabur Indonesia kurang berminat ke negara ini.


“Satu lagi faktor ialah pelabur ini mengambil kira setiap perincian termasuk jumlah keuntungan yang bakal diperoleh dan pemahaman yang lebih mendalam perlu diberikan supaya mereka faham dengan peluang di sini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Musa berkata EPG perlu diberi nafas baharu bagi mencapai matlamat penubuhannya pada Januari 2008 iaitu menyelesaikan perbalahan rakyat Malaysia dan Indonesia berkaitan budaya, sejarah serta tuntutan bertindih dan sebagainya.

Beliau berkata sudah tiba masanya Malaysia memperkenal kepelbagaian bangsa kepada masyarakat Indonesia kerana hubungan antara kedua-dua negara lebih menjurus kepada ‘Melayu-Indonesia’.

“Seorang rakyat Indonesia pernah menyuarakan perkara ini kepada saya, kerana di Malaysia juga ada bangsa-bangsa lain. Konsep masyarakat majmuk ini perlu diperkenal kepada negara jiran supaya mereka lebih memahami nilai Malaysia,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment