Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, November 24, 2013

No Comment

BANDAR SUNWAY – Hasrat seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun menjadi juruterbang tercapai apabila dia dibawa mengelilingi kawasan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur menaiki helikopter selama setengah jam, Khamis lalu.

Chong Jun Kit, yang bertarung nyawa melawan penyakit otot dihidapinya, diterbangkan dengan ketinggian 1,000 kaki untuk memenuhi impiannya dalam satu program anjuran pusat beli-belah Sunway Pyramid dan Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia (CWS).

Jun Kit yang ditemani bapanya Chong Kon Hong; Ketua Pegawai Operasi Pusat Beli-belah Sunway, Kevin Tan dan Naib Presiden CWS Malaysia, Teoh Teik Hoong diberi peluang melihat beberapa bangunan tertinggi di Kuala Lumpur dan seluruh kawasan Sunway.

Dalam program sama, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Ramli menerima tabik hormat khas daripada seorang kanak-kanak menghidap penyakit sama yang menanam impian menjadi anggota polis.

Elvin Raj yang disarungkan pakaian uniform kadet polis selepas itu dibawa menaiki kereta polis mengelilingi Bandar Sunway dengan bunyi siren sepanjang jalan.

Dia yang kelihatan lemah kerana sukar mengangkat kepalanya hanya tersenyum apabila ditanya sama ada menikmati tugasnya sebagai ‘pegawai polis’.

Presiden CWS, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, dalam program itu pihaknya turut menunaikan impian empat lagi kanak-kanak lain yang mengidap pelbagai penyakit kronik.

Jelasnya, CWS sudah membelanjakan hampir RM1.5 juta sejak lima tahun lalu bagi memenuhi impian lebih 300 kanak-kanak yang menghidap sakit kronik di seluruh negara.

“Kami menjelajah hampir setiap sudut di seluruh negara bagi membawa kegembiraan kepada kanak-kanak yang menderita sakit tidak mempunyai harapan untuk sembuh.

Ia mampu dilakukan dengan bantuan rakyat Malaysia yang pemurah dan sentiasa memberi sumbangan kewangan bagi menjayakan aktiviti amal,” katanya. – Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment