Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, November 14, 2013

No Comment

DUBAI –  Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata pihaknya akan mengkaji bagi menubuhkan satu badan yang dapat menjalankan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana, terutama bagi membantu golongan wanita dan kanak-kanak.

Selain itu, katanya pihaknya juga akan melihat bagaimana untuk memperluaskan lagi Depoh Tindak Balas Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRD) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di Subang, Selangor bagi memastikan penghantaran bantuan kepada penduduk yang terjejas dapat dipertingkat.
Rosmah berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan lawatan ke Bandar Kemanusiaan Antarabangsa Dubai (IHC) di sini, petang semalam.

Depoh UNHRD di Subang adalah hab bagi penghantaran bantuan kemanusiaan di rantau Asia dan Pasifik, dan merupakan antara enam depoh tindak balas kemanusiaan UNHRD. Lainnya ialah IHC di Dubai (UAE), Brindisi (Itali), Accra (Ghana), Panama City (Panama), dan yang terbaru Las Palmas (Sepanyol).

IHC, yang dibangunkan dan ditanggung kos pengendaliannya oleh kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) merupakan depoh tindak balas UNHRD yang terbesar.

IHC, sebuah zon bebas, menempatkan pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), serta pelbagai badan bantuan kemanusiaan yang tidak berasaskan keuntungan dan juga komersial.

Terletak berhampiran Pelabuhan Jabal Ali dan lapangan terbang baru Dubai yang sedang dibina iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Maktoum, IHC dilengkapi gudang, bilik sejuk dan pejabat bagi menempatkan pelbagai barangan dan peralatan yang diperlukan untuk misi bantuan kemanusiaan.

Rosmah dalam lawatan itu turut diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IHC Shaima Al Zarooni mengenai bandar itu.

Selain itu, beliau turut diberi taklimat mengenai penghantaran bantuan kemanusiaan kepada mangsa taufan Haiyan di Filipina oleh Pengurus UNHRD Dubai Bekim Mahmuti, yang juga pegawai kanan logistik pertubuhan itu serta Ketua Perkhidmatan Logistik Global International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC) Dubai Goran Zuber.

Ribuan orang dilaporkan terbunuh dan sejumlah besar cedera serta kehilangan tempat tinggal akibat taufan Haiyan yang melanda Filipina Ahad lepas.

Rosmah yang mengadakan lawatan kerja tiga hari ke UAE sejak Selasa, berkata pihaknya juga akan mengadakan kerjasama dengan IHC dalam usaha mempertingkat usaha bantuan kemanusiaan, terutama dalam mengkaji bentuk bantuan kepada wanita dan kanak-kanak.

Sebagai wanita dan ibu, katanya, pihaknya akan lebih memahami keperluan dan masalah yang dihadapi oleh kaum wanita dan kanak-kanak mangsa bencana.

Dengan ini, bantuan kemanusiaan yang disalurkan kepada golongan ini akan lebih menepati keperluan mereka, katanya.

Turut hadir Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Pembangunan Usahawan Wanita dan Latihan Ikhtisas, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, isteri Menteri Luar Datin Seri Siti Rubiah Datuk Abdul Samad, isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah, isteri Menteri Pendidikan Kedua, Datin Seri Che Kamariah Zakaria dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Dr Sharifah Hapshah Datuk Syed Hasan Shahabudin.
- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment