Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, November 11, 2013

No Comment

PETALING JAYA – Penembak wanita negara, Nur Suryani Mohd Taibi terus mempamerkan bidikan bertenaga apabila meraih pingat emas dalam acara 50m Rifle tiga posisi pada Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-37 di Lapang Sasar Kebangsaan, Subang dekat sini, hari ini.

Pencapaian tersebut adalah pingat emas kelima buat penembak elit negara itu pada kejohanan berkenaan, sekali gus menjadi ‘tonik’ terbaik kepada beliau bagi menghadapi Sukan SEA di Myanmar, bulan depan.

Dalam saingan hari ini, penembak berusia 31 tahun itu mencatat 447.4 mata untuk mengenepikan cabaran penembak Vietnam, Nguyen Thi Xuan yang mengutip  441.1 mata, manakala pingat gangsa milik Teresa Acuna Amparo dari Filipina dengan 420.1 mata.

Sebelum ini, penembak berasal dari Perak itu meraih empat pingat emas pada kejohanan itu dalam acara 10m Air Rifle individu dan berpasukan wanita serta 50m Rifle Prone individu dan berpasukan wanita.

Ketika ditemui pemberita, Nur Suryani berkata beliau amat berpuas hati dengan pencapaiannya pada kejohanan itu, kejohanan bertaraf antarabangsa pertama disertainya selepas berehat hampir setahun setelah melahirkan cahaya mata pertama pada September tahun lepas.

Nur Suryani yang kembali menjalani latihan sejak Julai lepas, berkata beliau akan menjadikan Sukan SEA di Myanmar sebagai pentas bagi memantapkan prestasinya untuk berdepan temasya lebih besar tahun depan iaitu Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

“Misi saya ke Myanmar bukan sekadar memburu pingat, sebaliknya saya bertekad untuk menampilkan aksi yang terbaik dengan mengatasi pencapaian saya sebelum ini.

“Saya tidak mahu menetapkan sasaran emas di Myanmar kerana tidak mahu sebarang tekanan,” katanya yang menjangkakan penembak dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Myanmar mampu mengugat peluangnya pada Sukan SEA Myanmar.

Kejohanan terakhir yang disertai Nur Suryani ialah Sukan Olimpik London 2012, namun beliau yang ketika itu sarat mengandung, gagal meraih pingat dan hanya sekadar menduduki tangga ke-34 daripada 56 pesaing pada pusingan awal.

Pada Sukan SEA ke-26 di Indonesia dua tahun lepas, penembak berusia 31 tahun itu berjaya meraih dua pingat emas menerusi acara 50m Rifle tiga posisi wanita dan 10m Air Rifle individu wanita.

Bagi acara 25m Centre Fire Pistol Lelaki Individu, Ha Minh Thanh dari Vietnam yang mengutip 585 mata meraih pingat emas, manakala pingat perak dimenangi penembak negara, Hasli Izwan Amir Hasan (581 mata) dan gangsa milik Gai Bin dari Singapura (578).

Acara 25m Centre Fire Pistol Lelaki Berpasukan pula dimenangi penembak  Vietnam menerusi gandingan Ha Ming Thanh/Bui Quang Nam/Nguyen Huy Quang Phuc yang mengutip 1,735 mata.

Malaysia yang diwakili Hasli Izwan/Khalel Abdullah/Mohamad Ridhuan Mohamed pula meraih pingat perak selepas mengutip 1,717 mata, manakala gandingan Yang Joe Tsi/Lee Siu Wah/Li Hao Jian dari Hong Kong memenangi pingat gangsa dengan catatan 1,653 mata. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment