Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, November 11, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta pihak berkuasa memberi jaminan keselamatan terhadap anggota dan pegawai kerajaan yang terlibat dalam aspek penguatkuasaan.

Naib Ketua DPPM, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, jaminan sama perlu juga diberikan kepada ahli keluarga pegawai kerajaan terbabit berikutan beberapa kes pegawai penguatkuasaan kerajaan dibunuh dengan senjata api oleh individu tidak dikenali.

“DPPM menggesa pihak berkuasa memberikan jaminan terhadap keselamatan pihak pegawai penguatkuasa yang berkhidmat dalam kerajaan di semua sektor.

“Kami turut menyarankan pihak berkuasa memperketatkan keselamatan terhadap pegawai penguatkuasa termasuk ahli keluarga mereka bagi berhadapan kemungkinan menjadi sasaran balas dendam,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian Ketua Pegawai Penguat Kuasa di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik maut ditembak di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan pada 10 November lalu.

Kejadian kira-kira pukul 1.55 petang itu mengakibatkan mangsa yang berusia 49 tahun mati di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan di dada kanan dan kerongkong dan sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang berehat di dalam rumah bersama isteri dan anaknya.

Pada 26 April lalu, Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak mati ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Dengkil untuk ke pejabatnya.

Mangsa yang duduk di sebelah pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das dari jarak dekat oleh seorang daripada dua lelaki menaiki motosikal di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Sentosa, Putrajaya.

Raja Ahmad seterusnya berkata, DPPM berasa kesal dengan pembunuhan tersebut dan berharap moral serta semangat pegawai penguatkuasa lain di semua jabatan kerajaan tidak terganggu dan meneruskan tugas serta komitmen yang diamanahkan kepada mereka.

0 comments:

Post a Comment