Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, November 24, 2013

No Comment

Ini adalah bahagian akhir daripada rencana empat siri mengenai Yakult, produk susu probiotik yang mengandungi sejenis bakteria baik iaitu lactobacillus casei Shirota.

TOKYO – Setiap pagi setelah lengkap berpakaian seragam biru ‘kotak-kotak’, Naomi Natsumi, akan berbasikal dengan ceria di sekitar pekan kecil Mizue, dekat Tokyo.

Basikal yang ditungganginya itu pula dilengkapi dengan kotak penyejuk yang diisi produk minuman untuk perkhidmatan penghantaran dari rumah ke rumah.

Bagaimanapun, tugas yang digalas oleh wanita berusia 27 tahun ini bukan sekadar menghantar barang.

Dikenali sebagai ‘Yakult Lady’, selain menghantar produk yang dihasilkan Yakult, pengeluar makanan probiotik terkemuka di Jepun, Naomi turut bertindak sebagai ‘duta kecil’ yang menjelaskan kepada pelanggan manfaat minuman probiotik.

SIAPA YAKULT LADY

Yakult Lady ialah petugas wanita yang bertanggungjawab menghantar langganan produk Yakult dari rumah ke rumah secara kereta sorong, basikal, motosikal atau kereta.

Sehingga kini terdapat 40,500 Yakult Lady di Jepun dengan lebih 2,500 pusat Yakult Lady.

Naomi, yang bertugas sebagai Yakult Lady sejak dua tahun lepas, menjalani latihan selama sebulan sebelum menyertai Pusat Yakult Lady di Mizue.

“Tugas kami bermula pukul 9.00 pagi. Kami akan mengambil dan menyusun produk itu ke dalam kotak penyejuk sebelum menghantarnya kepada pelanggan”, kata Naomi.

Naomi berkata beliau gembira dengan pekerjaan yang dilakukan sekarang. Tambahan pula aktiviti berbasikal setiap hari itu dapat menyihatkan tubuh badan dan mendidik masyarakat mengenai kesihatan.

“Semasa penghantaran, kami menjelaskan kepada pelanggan mengenai faedah Yakult dan bagaimana untuk mengekalkan kehidupan yang sihat dengan pengambilan Yakult”, kata Naomi.

Jalinan perhubungan dengan pelanggan sehingga sampai ke tahap mesra ini sesungguhnya memberi manfaat kepada syarikat. Di Jepun, banyak produk Yakult dapat dijual menerusi Yakult Lady berbanding di pasar raya.

PELANGGAN SETIA

Penulis turut berpeluang menyertai Naomi berbasikal untuk menghantar produk Yakult dari rumah ke rumah di sekitar pekan kecil Mizue dan bertemu beberapa pelanggan setia Yakult.

Seorang daripada mereka ialah nenek yang mesra dengan panggilan Miss Kato, 70, yang mula mengamalkan pengambilan minuman Yakult sejak berusia 10 tahun.

Warga emas ini, yang gemar melukis, menghasilkan kraftangan serta bercucuk tanam masih cergas dan sihat tanpa mengalami sebarang masalah kesihatan.

Miss Kato memberitahu Bernama, beliau lebih senang mempercayai produk Yakult berbanding pengambilan ubat-ubatan bagi tujuan menjaga kesihatan tubuh badan.

“Arwah ibu mengesyorkan agar saya meminum Yakult kerana minuman itu membantu beliau (ibu) mengatasi masalah penghadaman”, katanya.

Miss Kato juga mengesyorkan minuman itu kepada jiran, yang kemudian turut mengamal minuman itu.

“Saya suka menamakan kawasan ini sebagai ‘Yakult Street’. Sekurang-kurangnya 10 rumah di sini melanggan penghantaran Yakult ke rumah dan meminumnya selalu”, katanya.

Seorang lagi pelanggan, Kazumi Sasaki, 43, juga menerima penghantaran Yakult ke rumahnya sejak empat tahun lepas untuk dua orang anaknya.

“Anak saya Hitomi, sebelum ini mengalami sembelit manakala anak lelaki, Tomoya, mudah mengalami batuk dan selesema. Tetapi selepas mereka mengamalkan minuman Yakult, masalah kesihatan jarang berlaku”, katanya.

SATU KERJAYA

Terdapat lebih 40,000 rumah di pekan kecil Mizue dengan jumlah penduduk kira-kira 90,000 orang.

Manakala seramai 24 Yakult Lady bertugas lima hari seminggu untuk menghantar produk Yakult dari rumah ke rumah atas permintaan penduduk setempat.

Timbalan Pengurus Jabatan Penghantaran Yakult Ke Rumah, Yasumi Kajibayashi berkata, kerjaya Yakult Lady bukan sekadar menghantar produk Yakult kepada pelanggan, lebih daripada itu ia menekankan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat agar sentiasa menjaga kesihatan.

Beliau berkata Yakult Lady adalah kerjaya yang menawarkan peluang pekerjaan tanpa mengira umur, dan dalam masa sama menyediakan peluang kepada pekerjanya menjalankan khidmat masyarakat.

“Yakult Lady yang termuda di sini berusia 24 tahun manakala yang tertua ialah 80 tahun, yang telah berkhidmat hampir 40 tahun,” katanya.

Kajibayashi berkata, antara kriteria untuk menjadi Yakult Lady ialah mempunyai kesihatan yang baik, kemahiran berkomunikasi dengan baik dan personaliti yang ceria.

Perkhidmatan Yakult Lady diperkenalkan sejak tahun 1963 dan turut terdapat di Jepun, Taiwan, Thailand, Korea, Filipina, Singapura, Vietnam, India, China, Brazil, Mexico, Indonesia dan Malaysia.

Yakult Lady di Jepun bekerja selama lima jam sehari dengan pendapatan Yen 92,000 (kira-kira RM3,000) sebulan. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment