SHAH ALAM – Selepas beberapa jam Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan peletakan jawatan dalam semua jawatan dalam bola sepak, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini memberi amaran keras kepada FAM supaya tidak memberi alasan untuk tidak menyertai anggota Jawatankuasa Pembangunan Program Bolasepak Negara (JKPPBSN).
Menurut Khairy yang dipetik dalam satu kenyataan berharap, peletakan jawatan Annuar itu boleh menyelesaikan kemelut yang berlaku antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan FAM.
“Oleh kerana penjelasan di atas, dan keengganan FAM untuk menyertai JKPBK selagi Annuar menjadi ahli, saya anggap keputusan Annuar boleh menyelesaikan kemelut ini.
“Sekarang FAM tidak lagi boleh bagi alasan untuk tidak menyertai JKPBK,” katanya.
Tambahnya, FAM diperlukan dalam JKPPBSN untuk mengiktiraf jurulatih dan sebagainya.
“FAM diperlukan dalam JKPBK sebab kita memerlukan pentauliahan jurulatih dibuat oleh FAM.
“Pemain-pemain dibawah program JKPBK juga akan diserapkan dalam skuad Harimau Muda. Ini juga memerlukan penyelarasan dengan FAM,” ujarnya.
Terbaru, Annuar mengumumkan perletakannya jawatannya daripada terus terlibat memimpin sukan yang digemari ramai itu.
Annuar yang dipetik dalam kenyataan media juga mengesahkan akan melepaskan jawatan Timbalan Presiden FAM dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
Annuar juga berkata, keputusan itu dilakukan bagi mengelakkan berlakunya keengganan FAM bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung konflik pelantikannya sebagai anggota JKPPBSN.
“Mengambil kira semua perkara di atas dan setelah memikirkan dengan mendalam demi kemajuan bola sepak negara, saya merasakan tidak rela diri saya dijadikan alasan terutamanya oleh FAM untuk tidak berfungsi atau menjalankan tanggunggjawabnya untuk memberikan kerjasama kepada KBS.
“Saya juga tidak rela melihat usaha kerajaan terutama menteri yang sangat murni dan penting terutama untuk melaksanakan satu ‘blueprint’ yang saya percaya akan merubah ‘DNA’ dan ‘brand’ bola sepak Malaysia terjejas, semata-mata kerana FAM tidak mahu menyertainya,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda BN itu turut mengharapkan tokoh berpengalaman dalam arena sukan itu dapat memberi pandangan serta input kepada KBS kerana sumbangannya masih diperlukan.
“Secara peribadi saya kecewa kerana tidak dapat sumbangan dan nasihat dari seorang tokoh sukan yang saya hormati yang pernah juga menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan.
“Saya harap Annuar akan terus memberi pandangan dan input secara tidak rasmi kerana sumbangan beliau masih diperlukan oleh bolasepak negara. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment