TOKYO – Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun yang menandakan ulang tahun ke-40 hubungan Dialog Asean-Jepun, yang berakhir di sini hari ini menerima pakai dan meluluskan perkongsian dalam empat bidang yang akan menggariskan hala tuju hubungan Asean-Jepun di masa depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri Malaysia yang menyifatkan sidang kemuncak itu sebagai berjaya berkata empat bidang yang dipersetujui oleh semua pemimpin dan terkandung dalam Pernyataan Visi ialah Perkongsian Keamanan dan Kestabilan, Perkongsian Kemakmuran, Perkongsian Kualiti Hidup dan Perkongsian Hati ke Hati.
“Sidang kemuncak telah menggariskan hala tuju masa depan Jepun sebagai rakan kongsi Asean…rakan kongsi setara dengan Asean berdasarkan dokumen penting yang kami telah terima pakai dan diluluskan pada sidang kemuncak,” katanya kepada wartawan Malaysia di Hotel New Otani di sini.
Perdana Menteri berkata sidang kemuncak juga menerima pakai satu pelan tindakan berdasarkan ‘Pernyataan Visi mengenai Persahabatan dan Kerjasama Asean-Jepun – Perkongsian Visi, Perkongsian Identiti, Perkongsian Masa Depan’, yang mengandungi empat bidang perkongsian yang diterima pakai hari ini.
Najib berkata dalam bidang Perkongsian Keamanan dan Kestabilan, pemimpin mengesahkan komitmen mereka untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan demi kepentingan serantau dan global.
Ia juga antara lain menggariskan usaha untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam penyelesaian pertikaian secara aman termasuk menerusi dialog dan rundingan, tidak menggunakan ugutan atau kekerasan serta mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat.
Najib berkata antara lain bidang kerjasama itu juga membabitkan usaha memperkukuhkan kerjasama pengurusan bencana, operasi misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu, pengawalan dan pelucutan senjata, jenayah merentas sempadan dan keselamatan maritim.
“Saya anggap ini sebagai komprehensif…mencakupi keselamatan dan kerjasama menentukan kestabilan termasuk menyelesaikan apa-apa masalah secara rundingan tanpa gunakan kekerasan dan juga keselamatan maritim,” kata Perdana Menteri.
Mengenai bidang Perkongsian Kemakmuran, Najib berkata ini turut mengambil kira Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Asean-Jepun dan pelaksanaan Pelan Kerjasama Ekonomi Strategik 10 Tahun Asean-Jepun.
Selain itu bidang kerjasama itu turut menggariskan usaha sokongan untuk meningkatkan Kesalinghubungan Asean dan kesalinghubungan serantau serta meningkatkan kesalinghubungan oleh sektor perniagaan, menggalakkan lagi pembangunan ekonomi mampan dan kerjasama berterusan untuk merapatkan jurang pembangunan di rantau ini.
“Ini juga mengambil kira cabang Perkhidmatan dan Pelaburan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Asean yang akan diberi persetujuan sedikit masa lagi.
Perkongsian ini juga mengambil kira sokongan dan sumbangan Jepun dalam aspek Kesalinghubungan Pelan Induk Asean dan juga kerjasama yang boleh dimainkan Jepun
termasuk dalam bidang IKS,” kata Perdana Menteri.
Satu lagi perkara penting dalam perkongsian ini ialah memperkukuhkan kerjasama dalam rangkaian udara dan maritim antara Asean dan Jepun di rantau ini serta memastikan kebebasan dan keselamatan navigasi dan penerbangan mengkut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat.
Mengenai Perkongsian Kualiti Hidup, Najib berkata ini telah dijadikan satu cabang penting dalam Pernyataan Visi.
Katanya pemimpin-pemimpin juga komited untuk menggalakkan pembangunan sumber manusia dan menangani isu sosio-ekonomi dan alam sekitar yang antara lain menggalakkan kerjasama dalam sains, teknologi dan inovasi, teknologi maklumat dan komunikasi dan keselamatan siber.
Perdana Menteri berkata perkongsian dalam bidang itu juga termasuk usaha meningkatkan kerjasama untuk membasmi kemiskinan dan menangani cabaran yang timbul daripada perubahan iklim, bencana, urbanisasi dan populasi tua.- BERNAMA

0 comments:
Post a Comment