KUALA LUMPUR – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan membunuh seorang pembantu peribadi di tepi jalan berhampiran gerai mamak di Jalan Klang Lama, awal bulan ini.
Law Kien Soon, 40, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa memukul Mohd Raini Mohamed Junus, 52, dengan kayu sehingga menyebabkan kematiannya di tepi jalan berhampiran gerai mamak, Jalan Sepadu 5 Off Jalan Klang Lama, pada 4.45 petang, 3 Dis lepas.
Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sementara itu, seorang lagi penganggur didakwa di mahkamah sama terhadap pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Bangladesh.
Saleh Amer, 39, didakwa membunuh Kawser Ahmed, 32, di No 84-1 WHL Snooker Centre Jalan 1/76A Jalan Desa Pandan, pada 1.20 pagi, 16 Ogos lepas.
Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan 13 Feb tahun depan untuk kedua-dua kes itu disebut semula sementara menunggu laporan bedah siasat.
Kedua-dua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment