Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, December 1, 2013

No Comment

KOTA BAHARU – Umno Kelantan meletakkan program memperkasakan ekonomi Bumiputera, menambah modal insan dan usaha meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera, antara yang perlu diberi perhatian pada Perhimpunan Agung Umno selama enam hari mulai esok.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Hanafi Mamat berkata perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah usaha untuk meningkatkan pegangan harta bukan kewangan dan mewujudkan ramai usahawan Bumiputera berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi.

Beliau juga berkata perhimpunan kali ini akan dihadiri ramai perwakilan termasuk pemimpin bahagian yang terdiri daripada muka baharu yang sudah tentu input dalam ucapan dan perbahasan mencetuskan idea baharu.

“Perhimpunan agung kali ini akan menjadi wadah berwajah baharu dengan percambahan idea terutama bagaimana untuk Umno Kelantan memberi khidmat yang lebih berkesan kepada seluruh rakyat,” katanya kepada Bernama di sini.

“Mereka yang hadir akan menumpukan kepada ucapan dan perbahasan, ini berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini, pada kebiasaannya jika berlaku pertandingan ketika berhimpunan agung diadakan, tumpuan perwakilan hanya kepada pemilihan jawatan dan keputusan,” katanya.

Hanafi yang juga Ketua Umno bahagian Pasir Mas berkata pada perhimpunan tersebut, Umno Kelantan menghantar sebanyak 196 perwakilan mewakili 14 bahagian manakala tiga sayap parti iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri berjumlah 210 orang perwakilan.

Sementara itu, veteran Umno Kelantan Datuk Hasan Haron berkata Umno Kelantan perlu memanfaatkan perhimpunan kali ini untuk berkongsi dan mendapat idea baharu bagaimana untuk menjadikan Umno sebuah parti yang disenangi seluruh rakyat

“Kehadiran perwakilan yang ramai lebih daripada 5,000 orang dengan pelbagai peringkat dan latar belakang sudah tentu menjadikan perkongsian idea itu lebih meluas dan berkesan ke arah memperkukuhkan perjuangan parti terutama di Kelantan,” katanya yang juga Profesor Adjung Universiti Utara Malaysia (UUM).

Katanya walaupun PAS sudah lama memerintah negeri ini iaitu lebih 23 tahun, masih ramai rakyat yang memerlukan pembelaan manakala pembangunan negeri perlu dijana agar tidak terus ketinggalan berbanding kemajuan yang dicapai negeri lain.

Beliau juga menjangkakan perwakilan akan turut menyentuh bagaimana perlunya penambahbaikan dilakukan terhadap transformasi dalam kerajaan supaya rakyat benar-benar merasai konsep “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Ini penting berikutan tindakan pembangkang yang cuba mempengaruhi rakyat dengan memberi persepsi negatif terhadap transformasi tersebut, katanya.

Hasan berkata perhimpunan kali ini juga akan menjadi medan kepada generasi muda atau generasi Y daripada pergerakan Pemuda dan Puteri dalam mengetengahkan idea mereka bagaimana parti boleh memikat sokongan ramai daripada golongan tersebut.

“Umno perlu sedar bahawa sokongan daripada generasi muda amat penting pada masa depan termasuk memastikan kejayaan cemerlang pada pilihan raya umum ke-14 nanti. Parti pembangkang juga berlumba-lumba untuk menarik sokongan golongan muda bagi menyokong mereka pada PRU14,” katanya.- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment