ALOR SETAR – Setelah tewas dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU12) pada 2008 dan hilang kuasa pentadbiran ke atas Kedah, Umno Kedah sering dikatakan lemah dan lesu untuk bangkit daripada saat mengecewakan itu.
Malah sejak itu pada Perhimpunan Agung Umno setiap tahun, Umno Kedah diberikan “nasihat” daripada pemimpin dan perwakilan parti dari negeri lain tentang usaha-usaha yang boleh dijalankan untuk merampas kembali negeri ini daripada pakatan pembangkang.
Setelah PRU13 berakhir, lain pula keputusannya apabila Umno dan BN Kedah yang dikatakan lemah dan lesu itu bangkit untuk merampas semula negeri ini ketika di beberapa negeri, Umno dan BN mencatatkan keputusan yang lebih teruk berbanding PRU12, sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Parlimen.
Pada PRU13, BN Kedah yang ditunjangi Umno memenangi 10 daripada 15 kerusi Parlimen dan 21 daripada 36 kerusi Dun berbanding hanya empat kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dun sebelum itu.
Apakah rahsia Umno dan BN Kedah untuk bangkit semula dalam keadaan sokongan kepada BN dan Umno didakwa merosot di seluruh negara ?
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Othman Aziz berkata Umno Kedah akan berkongsi rahsia kejayaan itu dengan para perwakilan Umno yang lain pada Perhimpunan Agung Umno 2013 di ibu negara selama enam hari mulai Isnin sebagai persediaan menghadapi PRU14.
Katanya perhimpunan agung kali ini merupakan yang pertama selepas Umno dan BN berjaya merampas semula Kedah daripada pakatan pembangkang pada PRU13 lalu.
“Semangat Umno di Kedah kini lain. Jika dahulu selama lima perhimpunan agung kami datang sebagai wakil negeri yang dikuasai pembangkang tetapi kini kami datang dengan semangat baharu sehingga ke peringkat akar umbi hasil kemenangan kami,” katanya.
Menurutnya, dalam memenangi hati rakyat, Umno Kedah telah melakukan pelbagai cara tetapi akhirnya cara yang mudah dan lebih jimat yang berjaya membantu Umno Kedah menawan semula Kedah.
“Pada peringkat awal (kalah), kami sering mengadakan program secara besar-besaran tetapi sebenarnya tak berkesan kerana yang datang adalah ahli parti. Akhirnya kami lakukan usaha untuk lebih mendekati pengundi atas pagar dan memanfaatkan kegagalan pembangkang (mentadbir kerajaan negeri ketika itu) untuk beri kelebihan kepada BN. Perkara ini akan kami kongsikan dengan negeri-negeri lain,” katanya.
Katanya perkongsian seperti itu amat penting kepada Umno dan BN bagi memastikan sokongan kepada Umno dan BN di seluruh negara akan bertambah baik bagi menghadapi PRU14 nanti.
“Semangat nak menang ada…tetapi juga penting adalah semangat untuk deliver merupakan cabaran paling berat dalam konteks Umno sekarang. Kami (Umno Kedah) dah buktikan pada PRU lalu, walaupun kita berbelanja sedikit (untuk program), sesuai dengan keadaan kita negeri yang dikuasai pembangkang, tapi kita menang,” katanya.
Othman berkata selain itu, Umno Kedah juga melihat Perhimpunan Agung Umno ini penting untuk merapatkan kembali saf terutama di peringkat akar umbi berikutan transformasi yang berlaku dalam pemilihan parti baru-baru ini.
“Bila pemilihan, ada menang dan ada yang kalah. Harap perhimpunan ini akan menjadi titik tolak kepada penyatuan kembali supaya kita boleh tumpukan kepada usaha-usaha untuk deliver kepada rakyat.
“Kita kena terima hakikat pemilihan baru-baru ini pasti ada sedikit perpecahan tetapi ini peluang kita untuk rapatkan saf, tunjukkan prestasi baik kita. Kalau masa PRU kita mantap, kini kita kena tingkatkan prestasi,” katanya.
Othman berkata, pemilihan baru-baru ini memberi ruang yang lebih besar kepada anggota Umno untuk memilih pemimpin mereka bagi memastikan pembaharuan sentiasa berlaku dalam parti itu.
“Di Kedah sendiri, enam daripada 15 ketua bahagian adalah muka baharu untuk menerajui bahagian masing-masing. Gandingan lama dan baharu ini penting untuk kesinambungan dan memberi nafas baharu kepada Umno Kedah,” katanya.
Sementara itu, katanya pada perhimpunan agung nanti, perwakilan Kedah yang membawakan usul ekonomi akan menumpukan kepada usaha pelaksanaan agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera kerana ketika ini dasarnya cukup bagus tetapi usahanya tidak begitu baik.
“Dalam isu agama pula, tumpuan kita adalah kepada cabaran yang dihadapi agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan ketika ini. Dalam konteks ini termasuklah penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, Syiah dan keganasan yang didakwa dilakukan oleh orang Islam,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment