MELAKA – Kerajaan perlu merangka ‘Pelan Pembangunan Semula Masyarakat India’ untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India di negara ini, kata Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel.
Bagi tujuan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM3 bilion yang akan disalurkan untuk tujuan latihan, pendidikan dan pinjaman perniagaan bagi kepentingan komuniti itu.
Katanya, apa yang diperuntukkan kerajaan ketika ini masih tidak mencukupi untuk membolehkan masyarakat India keluar daripada belenggu kemiskinan, dengan ekuitinya masih kekal 1.3 peratus berbanding populasinya sebanyak lapan peratus daripada jumlah 28 juta rakyat negara ini.
“Ia tidak memadai dalam menyelesaikan masalah-masalah utama yang dihadapi masyarakat India. Apa yang lebih diperlukan adalah pelan pembangunan semula untuk masyarakat India, suntikan besar projek-projek infrastruktur, geran dan dana yang akan melonjakkan kaum India dalam pembangunan arus perdana negara,” katanya.
Palanivel berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung MIC kali ke-67 yang diadakan di Hotel Equatorial, di sini hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Palanivel yakin pelaburan berdimensi baharu itu pasti akan membuahkan kesan berganda sekali gus mampu menyelesaikan masalah pendidikan, agama dan jenayah yang berleluasa di kalangan masyarakat India sejak turun-temurun.
Bagi menjayakan usaha itu, katanya MIC turut menggariskan beberapa projek antaranya pelaburan dalam bidang hartanah yang menjanjikan potensi dan pulangan baik; dalam syarikat teknologi dan teknologi termaju dan projek pertanian bijak seperti Steinbeck di California yang bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan alternatif kepada pekerja ladang bahkan juga memiliki ladang yang diusahakan itu.
Jelasnya MIC kini berada di landasan tepat dalam memastikan segala program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan bijak dan membawa pulangan baik.
“Kita tidak membincangkan mengenai bantuan terhadap usahawan yang mahu membuka kedai gunting atau gerai-gerai. Sebaliknya saya mahu melihat usahawan India menceburi bidang perniagaan berkaitan teknologi termaju seperti nanoteknologi, teknologi hijau atau penyelidikan berkenaan teknologi kumputer kuantum,” katanya.
Katanya, walaupun MIC menghargai sumbangan dan peruntukan kerajaan khusus untuk masyarakat India, misalnya sebanyak RM200 juta dalam Bajet 2014, namun ia hanya 0.08 peratus daripada keseluruhan RM264 bilion Bajet 2014. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment