KUALA LUMPUR – Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) menawarkan pinjaman khas dikenali sebagai Dana Kecemasan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu golongan itu yang terjejas akibat banjir di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor.
Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd. Najib Abdullah berkata, Dana Kecemasan PKS itu menyediakan pinjaman mudah untuk pembiayaan pembelian mesin dan peralatan, pembaikan premis yang terjejas serta keperluan modal kerja seperti pembelian bahan mentah.
“Dana tersebut ditubuhkan bagi membantu perniagaan PKS yang telah terjejas teruk akibat bencana alam itu untuk memulihkan semula perniagaan masing-masing.
“Jumlah pinjaman yang ditawarkan dari RM50,000 ingga RM100,000 dengan kadar faedah yang rendah iaitu tiga peratus setahun. Tempoh bayaran balik adalah sehingga lima tahun dengan peratus pembiayaan sehingga 90 peratus daripada kos yang diperlukan oleh PKS,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Najib berkata, PKS terlibat boleh memohon pinjaman khas itu sekiranya perniagaan mereka terjejas akibat bencana alam seperti banjir, taufan, kemarau, hakisan pantai mahupun tanah runtuh.
Bagaimanapun, katanya, PKS yang beroperasi di kawasan-kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh Majlis Keselamatan Negara perlu menyediakan bukti bencana alam melalui surat yang dikeluarkan pejabat daerah ataupun salinan laporan polis untuk memohon pinjaman tersebut.
Justeru, katanya, PKS yang berminat mendapatkan Dana Kecemasan PKS boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman web www.midf.com.my.
“Sebarang pertanyaan juga boleh dihantar melalui emel kepada inquiry-feedback@midf.com.my atau membuat panggilan ke Jabatan Jualan Ibupejabat MIDF di 03-2173 8888,” katanya.
0 comments:
Post a Comment