KUALA TERENGGANU – “Kamu bertanggungjawab terhadap mereka sekiranya mereka terjerumus dalam kegiatan jenayah lain semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah dengan kamu.
“Ini sebab kesan aktiviti kamu yang menjual dadah semata-mata untuk mendapatkan keuntungan tanpa kamu fikirkan kesan terhadap orang lain”.
Demikian kata Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Mohd Yazid Mustafa sebelum menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang buruh yang berdepan pertuduhan memiliki dadah jenis heroin seberat 78.43 gram pada Mac tahun lalu.
Mohd Yazid membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Aznan Aziz, 25, dari Kampung Bukit Tunggal, di sini, mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.
Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, kerana satu botol dadah itu, berapa ramai yang terbabit dengan dadah termasuk penagih yang baru berjinak dengan dadah.
“Berdasarkan kajian, dadah jenis heroin boleh membuatkan seseorang ketagih dan keadaan menjadi lebih teruk apabila mereka penagih mula bergantung kepada bahan terlarang itu sehingga melakukan jenayah lain dan kamu bertanggungjawab jika mereka melakukan jenayah,” tegasnya.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Aznan yang juga anak bongsu daripada empat beradik didakwa memiliki dadah berbahaya iaitu heroin seberat 78.43 gram di sebuah rumah di Kampung Bukit Tunggal, di sini kira-kira jam 11 pagi pada 20 Mac 2013.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang manakala Mohd Aznan diwakili peguam, Ghazali Ismail.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu membuat serbuan di rumah berkenaan hasil maklumat dan intipan.
Sebaik sampai di rumah terbabit, polis mengetuk beberapa kali namun tiada jawapan sebelum bertindak menendang pintu berkenaan.
Ketika dibuka, dua lelaki termasuk Mohd Aznan cuba melarikan diri ke arah bahagian dapur namun berjaya diberkas polis memandangkan kediaman berkenaan sudah dikepung terlebih dahulu.
Hasil pemeriksaan di dalam bilik, polis menemui satu paket plastik berwarna cerah mengandungi 10 tiub cerah yang setiap satu mengandungi serbuk putih disyaki dadah.
Pemeriksaan lanjut turut menemui satu beg pinggang mengandungi empat botol plastik cerah dan dua bungkusan plastik terdapat 90 botol plastik cerah mengandungi serbuk putih disyaki dadah dengan jumlah rampasan 100 botol dan 10 tiub dadah. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment