KOTA BHARU – Seorang penjual ayam dipenjara tujuh tahun oleh mahkamah sesyen di sini, semalam, selepas mengaku salah merompak pembantu cawangan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Bachok, setahun lalu.
Baharul Hisan Ismail, 35, mengaku salah tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas Mohd Helmi Kamarudin @ Remly, 28, dengan mengambil beg sandang berisi wang tunai RM29,878 di hadapan tangki air Pekan Jelawat, 27 Ogos.
Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Pada prosiding semalam, peguam Aminuddin Muhammad merayu hukuman ringan terhadap tertuduh berikutan dia menanggung isteri dan tiga anak yang masih kecil.
“Tertuduh berani mengaku salah dan tidak ada sesiapa mendapat keuntungan jika hukuman penjara lama dikenakan, malah hanya menyusahkan pembayar cukai bagi menampung kosnya di penjara,” katanya.
Rayuan itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin dengan memohon supaya mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam melebihi kepentingan diri tertuduh.
“Mahkamah juga harus mengambil kira jumlah wang yang dirompak dalam kes ini, selain jenayah serius yang semakin berleluasa dilakukan itu,” katanya.
Dua lagi rakan tertuduh, Mohamad Faiz Mohd Kamal, 22, dan seorang tentera, Mohamad Adnan Mohamed, 27, yang menafikan tuduhan itu akan dibicarakan pada 20 dan 21 April depan. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment