Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, February 9, 2014

No Comment

KUCHING – Biarpun sedih dengan keputusan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk meletak jawatan, tiga presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak senada bahawa keputusan itu tidak akan memberi impak keterlaluan.

Ini, menurut mereka, asalkan pemimpin yang bakal dipilih meneruskan corak kepimpinan yang dibentuk sejak sekian lama.

Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom berkata berkata Taib telah lama mentadbir Sarawak, meninggalkan asas kukuh pentadbiran, justeru pemimpin baharu yang bakal dipilih hanya perlu meneruskan sistem yang telah lama diamalkan itu.

“Selagi sistem serta pentadbiran sedia ada diteruskan, saya percaya tidak akan ada impak besar kepada Sarawak, walaupun Taib sudah lama mentadbir negeri ini. Kita semua faham keputusan ini menyedihkan ramai pihak khususnya rakyat Sarawak, namun keputusan dibuat selepas pelbagai perkara diambil kira,” katanya.

Mawan berkata Taib merupakan pemimpin yang bertanggungjawab, di bawah pentadbirannya berjaya membawa perubahan pesat serta pembangunan terhadap negeri itu, tidak lupa hasil sokongan penuh rakyat negeri ini.

“Bagi saya Taib bukan hanya seorang pemimpin biasa, dia adalah pemimpin hebat,” katanya.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing berkata keputusan Taib untuk mengundurkan diri tidak mengejutkan, dan akan memberi sokongan kepada bakal pengganti yang akan dipilih nanti.

“Saya sudah mengagak berita ini, rasa amat sedih namun PRS akan memberikan sokongan penuh kepada keputusan serta sesiapa saja yang bakal dipilih. Saya sendiri akan memberitahu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PRS agar mereka berpendirian sama dengan saya, menyokong calon tersebut,” katanya.

Masing juga berharap walaupun Taib berundur, beliau akan terus memberi nasihat kepada pemimpin-pemimpin politik negeri.

“Kita juga menyokong cadangan MKT Parti Pesaka Bumiputera agar Taib dicalon serta menjadi Yang Dipertua Negeri yang baharu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata SUPP bersedia dan berupaya bekerjasama rapat dengan ketua menteri Sarawak yang baharu untuk terus memajukan negeri ini dan kesejahteraan penduduknya.

“Taib mengabdikan diri dalam jangka yang panjang untuk berkhidmat kepada negara dan negeri. Dedikasi beliau terhadap tugasnya dan banyak dasar inovatif yang beliau perkenalkan selama bertahun-tahun tidak syak lagi telahpun bertapak di samping membuahkan hasil dari segi transformasi ekonomi di kawasan bandar dan luar bandar.

“Hakikat bahawa Sarawak berada di tempat kedua dalam kalangan negeri di Malaysia dari segi KDNK per kapita bukan satu kebetulan, sebaliknya terhasil daripada usaha berterusan dan lestari di pihak kerajaan negeri,” katanya.

Chin berkata setiap pemimpin perlu berdepan saat genting dalam hidupnya apabila perlu membuat keputusan untuk bersara daripada berkhidmat kepada orang ramai, tidak kira apa jua jawatan atau kuasa yang mungkin dipegangnya.

“Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Tun Abdullah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) telah melakukannya dan kini Taib pula berbuat demikian. Selamat bersara dan mudah-mudahan pengganti beliau serta yang lainnya akan mendapat manfaat daripada pengalaman beliau yang kaya serta pelbagai itu,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment