Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, May 25, 2014

No Comment

*SEHARI dua ini perbualan sebahagian besar rakyat Malaysia – tidak kira di pejabat, di stesen pengangkutan awam, di masjid dan surau, hatta ketika berselisih sesama sendiri di tandas awam – hanya terfokus kepada dua perkara.

Pertama: Dyana, atau nama penuhnya Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan. Lawannya ialah Datuk Mah Siew Keong, calon harapan BN.

Sejak disahkan sebagai calon, Dyana dihentam atas, bawah, depan, belakang oleh pihak lawan. NGO-NGO Melayu menyifatkan kesediaan Dyana menyertai dan bertanding atas tiket DAP sebagai pengkhianat bangsa.

Ada yang menuduh Dyana sebagai alat DAP, ada yang kata Dyana dimainkan DAP. Malah, dalam soal hudud, ramai mengecap Dyana sebagai tidak islamik. Ramai mempersoalkan kenapa dia tidak menutup kepala?

Sebenarnya bukan Dyana sahaja tidak menutup kepala. Ada berjuta lagi wanita Melayu (Islam) mendedahkan kepala dan rambut, tetapi tidak dihentam seperti Dyana. Pendek kata, Dyana menjadi bahan cemuhan macam-macam pihak.

Tetapi, ada satu yang ramai orang suka tentang Dyana. Baik kawan atau lawan, orang politik atau orang bukan politik, menteri atau rakyat biasa, wanita atau lelaki – lebih-lebih lagi lelaki! – semuanya mengakui bahawa Dyana manis, atau istilah anak muda ‘cun-melecun’.

Sebab itu anak dara yang menjadi calon DAP ini sentiasa menjadi fokus perbualan, dan gambarnya saban hari menjadi siaran media. Senyuman dan jelingannya, adusss…

*KEDUA: Panda, iaitu dua ekor haiwan dari China yang beberapa hari lalu selamat mendarat di Kompleks MASKargo KLIA, jam 7.53 pagi dengan pesawat khas Airbus 330-200 (MH6462) dari Chengdu, China.

Walaupun haiwan, pasangan beruang jantan-betina berkenaan mendapat layanan VIP, dan disambut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel dan Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang.

Seperti yang dilaporkan media kedatangan panda berkenaan adalah simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China. Pasangan haiwan ini dipinjamkan bagi tempoh 10 tahun menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

Buat sementara waktu kedua haiwan ini akan memakai nama Fu Wa (lelaki) dan Feng Yi (betina). Nama itu akan ditukar bulan depan dan nama baharu akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saya tidak tahu nama yang sesuai untuk panda jantan. Tetapi kalau liputan media diambil kira, berdasarkan gambar yang disiarkan secara besar-besaran, maka saya mencadangkan Dyana sebagai nama panda betina. Sumpah, ini tidak ada kaitan dengan PRK Teluk Intan.

*PERIHAL dua ekor panda yang kiut-miut itu, macam-macam fakta dan kenyataan mengenainya disiarkan media. Antara fakta menarik, di bawah perjanjian, ketika berada di negara ini selama 10 tahun Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi, selain dapat membangun dan melatih kepakaran tempatan.

Menarik juga diketahui ialah Fu Wa dan Feng Yi yang kini ditempatkan di Zoo Negara, makan hampir lapan kilogram buluh setiap kali makan dan boleh mencapai sehingga 80 hingga 100 kilogram sehari bergantung kepada mood.

Ini pun kenyataan menarik mengenai panda yang dibuat oleh seorang timbalan menteri, seperti yang tersebar dalam laman-laman sosial. Kata beliau: “Kehadiran panda-panda ini dapat jimatkan kos rakyat kerana rakyat tidak perlu ke luar negara untuk melihat panda.”

Saya berharap apa yang tersebar di media sosial itu tidak betul. Umum tidak mahu ada timbalan menteri yang suka membodohkan rakyat dengan kelakar yang nampak sangat dangkal.

*AKHIR kalam, SPRM sedang menyiasat seorang pegawai agensi kerajaan yang dalam akaunnya ada RM1.2 juta berikutan pembongkaran kes penyeludupan petrol dan diesel ke negara jiran. Itu baru seorang pegawai! Menurut laporan akhbar penyeludupan @ ‘1 liter 1 sen’ tersebut melibatkan ramai pegawai pelbagai agensi kerajaan. Siasat hingga ke lubang cacing!

Sumber: Sinar Online

0 comments:

Post a Comment