Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, May 11, 2014

No Comment

SANDAKAN – Anggota pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) terpaksa melepaskan tembakan amaran selepas sebuah bot laju yang disyaki dinaiki tiga anggota penyeludup minyak petrol merempuh bot mereka sebelum menahan penyeludup terbabit berhampiran perairan Pulau Berhala, dekat sini, semalam.

Ketua Pengarah ESScom, Datuk Haji Mohammad Bin Mentek, berkata kejadian itu berlaku semasa anggota keselamatan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) menaiki dua bot sedang meronda di perairan antara Pulau Berhala dan Tanjung Aru terserempak sebuah bot laju menggunakan enjin 200 kuasa kuda pada kira-kira jam 7.30 malam.

“Bot laju yang dinaiki tiga lelaki berkenaan kemudian merempuh sebuah daripada bot anggota keselamatan sehingga menyebabkan seorang daripada anggota kita tercampak ke laut dan cedera tangan kanan dan bahagian belakang pinggang.

“Anggota pasukan keselamatan kita menahan bot suspek dan menangkap tiga lelaki tersebut dengan seorang daripada mereka mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohammad berkata selepas diperiksa, anggota pasukan keselamatan mendapati bot suspek dimuatkan 42 jeriken kosong. Bagaimanapun, tiada senjata dijumpai.

Beliau berkata maklumat awal menunjukkan ketiga-tiga suspek bergerak menaiki bot laju dari pulau Bangkungan Besar, Filipina ke Tanjung Aru, Sandakan pada kira-kira jam 6 petang.

“Suspek disyaki menyeludup minyak petrol dari Sandakan ke seberang (Bakungan Besar, wilayah Filipina) pada jam 4 petang dengan muatan sekitar lapan dram minyak petrol yang diisi dalam jeriken.

“Semasa kejadian suspek dalam perjalanan balik ke Sandakan setelah menyeludup keluar minyak tersebut,” kata Mohammad sambil menambah dua daripada suspek itu berbangsa Suluk – seorang memiliki kad pengenalan berumur 54 tahun, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment