Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, May 8, 2014

No Comment

BANYAK pihak mengatakan Lebuh Raya Utara-Selatan yang berusia 20 tahun itu adalah aset kritikal negara atas faktor peranannya sebagai pemangkin kepada nadi pembangunan negara.

Sesungguhnya lebuh raya ini berjaya mewujudkan tempat-tempat dan komuniti baru yang sekali gus menyaksikan pembinaan laluan masuk ke tanah-tanah rancangan Felda dari Perak, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka hingga ke Johor.

Bagaimanapun baru-baru ini, ada pihak membuat tawaran untuk mengambil alih hak milik lebuh raya berkenaan.

Seperti kita sedia maklum, pemegang saham terbesar dalam PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebagai pemegang konsesi lebuh raya tersebut, kini dimiliki bersama dua agensi kerajaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan UEM Berhad (UEM).

Jadi ada asasnya cadangan untuk memiliknegarakan PLUS kelihatan dangkal dan itu hanya satu alasan semata-mata.

Daripada pengamatan penulis, pemilihan UEM dan KWSP telah terbukti memberi faedah kepada pengguna-pengguna lebuh raya PLUS kerana penyelenggaraannya sangat baik.

Apabila PLUS menjadi milik dua entiti korporat terbesar milik negara, bermakna ia juga menjadi milik rakyat dan bertanggungjawab memenuhi tuntutan pelaburan de­ngan memberi faedah atau dividen kepada lebih 14 juta pencarum KWSP.

Kepada penulis, sebagaimana penubuhan Felda, pembinaan lebuh raya ini sekarang menjadi aset penting negara dan merupakan tulang belakang kepada sistem perhubungan darat di Semenanjung Malaysia.

Sebab itu, ia harus menjadi faktor utama untuk mengekalkannya dalam genggaman kerajaan. Kalau kita amati secara dekat, secara jujurnya kita tidak boleh nafikan, manfaatnya kepada rakyat dan negara mengatasi matlamat kepada syarikat swasta atau pun individu.

Selain syarikat pengangkutan, lebuh raya PLUS biasanya digunakan oleh kita apabila hendak bertugas di luar pejabat ataupun balik kampung ketika musim perayaan dan bercuti bersama keluarga. Lebuh raya yang kerap dan hari-hari kita guna adalah lebuh raya tol antara bandar.

Jika ada pihak yang benar-benar prihatin terhadap rakyat, mungkin lebih baik mereka mengambil alih lebuh raya antara bandar kerana kebanyakan warga kota seperti penulis rata-rata menggunakannya setiap hari untuk ke tempat kerja.

Di Lembah Klang sahaja ada lebuh raya SPRINT, LDP, NPE, LEKAS, KESAS dan beberapa yang lain. Lebuh raya bertol itu juga mempunyai jumlah pengguna yang tinggi, sedangkan lebuh raya kendalian PLUS opera­sinya lebih tertumpu antara lapan negeri.

Mungkin pihak berkenaan boleh berbincang dengan pengendali tol tersebut kerana ia lebih bermanfaat untuk warga kota terutamanya di Lembah Klang.

Kita bersyukur dan beruntung sebab lebuh raya di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Johor Bahru banyak memendek dan memudahkan perjalanan pengguna walaupun bilangan kenderaan bertambah setiap tahun, berbanding fenomena kesesakan di bandar raya Jakarta dan Bangkok.

Cuma kekerapan kenaikan kadar tol perlu dikaji semula supaya tidak membebankan rakyat.

Ahli perniagaan dan syarikat konsesi lebuh raya tol amat-amat diharapkan supaya dapat memberi ruang untuk tidak hanya memikirkan mahu cepat mendapat pungutan wang pelaburan mereka sahaja, berilah peluang kepada kerajaan dan rakyat untuk ‘membayar balik’ dalam bentuk yang tidak membebankan.

Ini mesti diterapkan supaya negara kita lebih sustainable dan kos sara hidup rakyat dapat sedikit sebanyak diringankan.

Disebabkan kerajaan mendengar denyut nadi rakyat, kali terakhir PLUS menaikkan kadar tol adalah pada 2005, dengan semakan semula pada 2011 yang menyaksikan PLUS dimiliknegarakan di bawah Kumpulan UEM dan KWSP bermakna selama 10 tahun kadar tol kekal.

Dengan prasarana yang terancang dan bertaraf antarabangsa, sistem rangkaian lebuh raya PLUS telah memainkan peranan penting dalam pembangunan industri sawit Felda dan pembangunan sosioekonomi masyarakat Felda.

Sebagai contoh paling mudah, lebuh raya PLUS telah memudahkan dan menjimatkan masa pengangkutan dan penghantaran hasil sawit Felda ke pusat pengumpulan mahupun penapisan sekali gus memacu perkembangan industri sawit serta pemba­ngunan sosioekonomi para peneroka Felda.

Seterusnya, pembangunan ini juga telah menyaksikan pelbagai limpahan ekonomi dan pertumbuhan setempat seperti kewujudan bandar-bandar baharu.

Malah generasi Felda yang kebanyakannya bekerja dan berhijrah ke Lembah Klang seperti penulis, mendapat manfaat daripada lebuh raya PLUS ini dengan kemudahan berulang-alik ke kampung halaman dengan selesa, jimat masa dan lebih selamat.

Justeru tawaran pihak swasta untuk mengambil alih lebuh raya PLUS dianggap kurang wajar kerana kerajaan telah melaksanakan tugas dengan baik dalam menjaga dan mengurus aset penting negara.

Dengan adanya entiti kerajaan yang bertanggungjawab terhadap aset negara ini, bermakna rakyat masih mempunyai tempat dan platform untuk mengadu tentang kadar tol tetapi jika aset negara ini dimiliki pihak tertentu, ke manakah arah untuk mengadu?

Biarlah lebuh raya PLUS yang menjadi nadi dan tulang belakang Semenanjung Malaysia kekal di bawah tanggungjawab UEM dan KWSP.

Perkara sudah elok biarlah dikekalkan.

Oleh Datuk Khairil Anuar Aziz

PENULIS ialah Generasi Kedua Felda dan Ahli Panel Gabungan Pemikir Profesional Felda (Gaprof) - MyNewsHub

0 comments:

Post a Comment