Andres Iniesta |
BARCELONA – Bintang tengah Barcelona, Andres Iniesta berkata, dia ’200 peratus yakin’ pasukannya akan menjulang kejuaraan La Liga pada hujung minggu ini.
Barcelona akan menerima kunjungan pendahulu, Atletico Madrid di Camp Nou dalam perlawanan yang mesti dimenangi untuk dinobat sebagai juara buat kali kelima dalam tempoh enam musim.
Atletico memegang kelebihan tiga mata dan hanya memerlukan seri untuk menang, namun seandainya kemenangan menjadi milik Barcelona, mereka akan ditabal sebagai juara meskipun terikat dengan 89 mata kerana memiliki rekod pertemuan yang lebih baik.
Kami perlu menang dan kami sedar Atletico bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan.
Namun, gelaran La Liga berada dalam jangkauan, jadi kami akan manfaatkan segala peluang yang ada dengan memenangi perlawanan terakhir musim ini di depan penyokong sendiri.
Pasukan ini tidak pernah tertekan beraksi dalam perlawanan terakhir dengan kejuaraan menjadi pertaruhan,” kata bintang tengah Sepanyol itu.
Ramai pemerhati menganggap, Barcelona tidak layak mempertahankan kejuaraan La Liga kerana prestasi mereka yang jatuh dengan dramatik pada separuh musim dan hampir menyebabkan jurulatih, Tata Martino hilang pekerjaan.
Namun Iniesta percaya, skuad dengan Blaugrana itu telah mengatasi tempoh sukar dan perit, justeru mereka layak bergelar pemenang.
Siapa pun yang akan menang, Barcelona atau Atletico, kedua-duannya memang layak.
Mengapa kami tidak layak?. Kami pernah mendahului liga, pernah kalah beberapa perlawanan dan pernah menang perlawanan besar.
Kita bercakap tentang usaha sepanjang musim, namun sekarang usaha kami sepanjang tahun akan ditentukan dalam tempoh 90 minit permainan.
Menjuarai liga tidak dapat membersihkan aksi buruk yang telah ditunjukkan musim ini tetapi jika kami menang, kami akan mengelak rombakan besar-besaran dilakukan musim depan,” ujar Iniesta lagi.
Perlawanan hujung minggu ini juga bakal menjadi aksi terakhir buat penjaga gol, Victor Valdes dan ketua pasukan, Carles Puyol, justeru Barcelona mahu mencari kemenangan sebagai hadiah buat kedua-dua pemain senior itu.
Sementara itu penyerang Brazil, Neymar hampir pulih daripada kecederaan kaki dan berharap dapat diturunkan dalam aksi penentu kejuaraan.
Saya terus pulang selepas menjalani rawatan dan harap dapat bermain pada Sabtu ini. Saya sudah kembali menjalani latihan,” kata pemain berusia 22 tahun itu yang menerima rawatan di Brazil.
Sumber: New Malaysian Post / Agensi
0 comments:
Post a Comment