Che Azifah hadir ke pejabat Sinar Harian bersama anak bongsunya. Foto oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH |
KOTA BHARU - Seorang wanita yang didakwa keluar dari rumah hampir sebulan nafi melarikan diri sebaliknya mahu menyelesaikan perkara yang membabitkan hal peribadi.
Che Azifah Che Yaacob, 42, berkata, dakwaan yang mengatakan dia bersama anak bongsunya yang berusia 10 bulan gagal dikesan adalah tidak benar.
“Saya ada menghubungi ibu dan bercakap dengan dua anak yang lain, malah saya juga sempat memberitahu suami yang saya tidak boleh pulang ke rumah sehingga masalah selesai.
“Kami dah kahwin 10 tahun dan perkara ini babitkan hal peribadi, saya keluar dari rumah juga tiada kena mengena dengan rakan yang dikatakan mahu peralatkan saya atas kepentingan peribadi,” katanya ketika datang ke pejabat Sinar Harian, semalam bagi menjelaskan keadaan sebenar.
Che Azifah berkata, bagi menyelesaikan perkara tersebut dia memfailkan penceraian terhadap suaminya melalui mahkamah syariah dan akan dibicarakan pada 17 Jun depan.
Tambahnya, dia juga masih sayangkan anak-anaknya dan akan menuntut hak penjagaan apabila siap proses penceraian dengan suami.
“Sejurus keluar dari rumah tempoh hari saya telah ke mahkamah dan juga membuat laporan polis mengenai hal ini. Saya tegaskan bukan tidak mahu pulang ke rumah tetapi ada benda perlu diselesaikan.
“Jika tiada masalah, saya tidak akan lari dari rumah sewenang-wenangnya,” katanya yang kini menumpang di rumah rakannya.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Mohd Ashraf Mohd Zain,29, merayu agar isterinya pulang ke rumah selepas wanita itu yang dipercayai menghilangkan diri sejak awal Mei lalu gagal dikesan.
Sumber: Sinar Online
0 comments:
Post a Comment