Walaupun sudah hampir sebulan beroperasi, isu keselamatan KLIA2 masih diperkatakan. |
KESELAMATAN Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) terus menjadi keutamaan tertinggi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang menyambut baik keputusan kerajaan untuk melantik pakar bebas terdiri daripada Ikram Premier
Consulting (Ikram) dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk meningkatkan lagi keselamatan di (KLIA2).
MAHB dalam kenyataan semalam berkata, syarikat itu menyokong sepenuhnya usaha kerajaan itu serta akan memberi bantuan dan kerjasama penuh kepada Ikram dan ICAO untuk mencari jalan meningkatkan lagi keselamatan.
"MAHB akan bekerja rapat dengan pihak berkuasa, syarikat penerbangan dan semua pihak berkepentingan untuk memastikan semua keperluan dan standard keselamatan dikekalkan dan kecekapan operasi tidak terjejas dengan apa cara sekali pun," menurut MAHB.
Kelmarin, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkhidmatan kedua-dua organisasi itu akan diteruskan memandangkan mereka juga terlibat dalam memastikan keselamatan struktur bangunan KLIA2 sebelum ini.
“Kedua-dua organisasi ini akan mengkaji soal isu keselamatan terutama berkaitan tanah mendap dan takungan air seperti dilaporkan selepas tiga minggu KLIA2 beroperasi. Mereka akan memberi cadangan bagi penambahbaikan ciri-ciri keselamatan di lapangan terbang ini,” katanya selepas lawatan ke KLIA2.
Menurut MAHB, sejak dibuka 2 Mei lalu, KLIA2 beroperasi dengan lancar dan telah mengendalikan 1.32 juta penumpang serta 8,500 trafik penerbangan.
Sumber: Sinar Online
0 comments:
Post a Comment