GEORGETOWN - Calon Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan membuat keputusan untuk memfailkan petisyen pilihan raya berikutan beberapa perkara yang dilihatnya tidak kena dalam PRK Bukit Gelugor.
Cheng Guan berkata, petisyen akan diserahkan kepada mahkamah pilihan raya setelah keputusannya diwartakan.
“Saya akan memfailkan petisyen berhubung keputusan PRK Bukit Gelugor kerana mendapati wujud salah laku DAP semasa hari pengundian Ahad lalu.
“Saya akan serahkan bersama bukti bergambar serta klip video yang menunjukkan ejen DAP berkumpul serta mendirikan khemah di kawasan kurang 50 meter dari pusat mengundi, seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada media selepas melawat Pasar Air Itam, semalam.
Beliau juga akan memasukkan maklumat mengenai exco dan Adun berkempen di kawasan pusat pengundian.
“Ia adalah bertentangan dengan peraturan pilihan raya. Sebaik sahaja keputusan PRK diwartakan, saya akan beri bukti yang ada. Orang saya merakam gambar dan video mengenai insiden itu.
“Saya bukan cakap kosong. Dalam ceramah, macam-macam mereka kata pada saya, sekarang masa untuk saya bertindak. Saya akan pastikan DAP mendapat mimpi ngeri selepas ini,” katanya.
Menurutnya, terdapat sebuah khemah didirikan penyokong DAP di Kampung Kastam yang menggunakan logo SPR dan ia mengelirukan pengundi di kawasan berkenaan.
“Setelah aduan dibuat, ia diturunkan.
“Mereka juga guna khidmat Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di pusat mengundi, malah saya dapat tahu, ada 1,000 anggota bertugas. Bagi saya, khidmat mereka ini tidak perlu. Anggota polis yang ada sudah cukup,” katanya.
Kelmarin, Cheng Guan membuat laporan kepada SPR mengenai exco kerajaan negeri berkempen di hadapan sekolah.
Beliau juga membuat laporan polis berhubung dakwaan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang dipercayai berkempen berhampiran pintu pagar sebuah sekolah pagi Ahad lalu.
Sumber: Sinar Online
0 comments:
Post a Comment