KUALA LUMPUR: Ahli keluarga anak kapal pesawat MH370 kecewa dengan MAS yang menarik balik khidmat penjaga yang disifatkan sebagai “talian hayat” kepada mereka.
Mereka berkata, mereka percaya MAS menghentikan perkhidmatan itu sebagai “hukuman” berikutan tindakan mereka mengupah peguam bagi mendapatkan nasihat undang-undang.
Salah seorang waris anak kapal pesawat itu, Jacquita Gonzales iaitu isteri kepada Patrick Gomes berkata, semuanya berjalan dengan baik sehingga pengurusan MAS mengetahui mengenai tindakan mereka mendapatkan khidmat peguam.
“Cuba bayangkan anda di tempat kami. Adakah salah jika dapatkan khidmat peguam untuk mendapatkan nasihat undang-undang? Kami bukan peguam dan dalam keadaan ini, kami tidak fikir ia salah untuk dapatkan peguam. Adakah bahaya jika dapatkan khidmat peguam,” kataya pada sidang media di sebuah hotel di Subang, hari ini.
Sementara itu, suami kepada Christine Tan, Calvin Shim pula berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein atas bantuan berterusan dan perkembangan terkini berkaitan isu itu.
“Kami juga ingin ucapkan terima kasih atas kenyataan Datuk Seri Hishammuddin dalam akhbar New Sunday Times bahawa MAS patut memberi tumpuan kepada keperluan waris penumpang dan anak kapal,” katanya.
Sumber: BH
0 comments:
Post a Comment