Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, May 14, 2014

No Comment

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui terdapat kelemahan di pihak kerajaan Malaysia dalam mengendalikan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Beliau turut mewakili pihak kerajaan menyesali beberapa aspek dalam kes berkenaan khususnya dari segi komunikasi antara kawalan trafik udara dan pesawat MH370 ketika dalam penerbangan.

“Saya percaya Malaysia akan diberikan pujian kerana berusaha melakukan apa yang terbaik dalam sesuatu perkara yang hampir mustahil.

“Tidak pernah dilakukan oleh negara seperti Malaysia yang bersaiz kecil untuk mengendalikan operasi mencari melibatkan urusan diplomatik dan ketenteraan sehingga berjaya menyelia 26 buah negara berbeza untuk menjalankan operasi mencari terbesar dalam dunia.

“Bagaimanapun, kami tidak melakukan semuanya dengan tepat. Dalam beberapa hari di peringkat awal selepas pesawat berkenaan hilang, kami terlalu memberi fokus kepada usaha mencari pesawat berkenaan sehingga dilihat mengabaikan keutamaan komunikasi,” katanya dalam satu artikel tulisannya dalam ruangan pendapat laman web The Wall Street Journal hari ini.

Menurut beliau sela masa kira-kira empat jam selepas pesawat MH370 itu hilang sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan akan disiasat secara terperinci.

“Pihak kawalan trafik udara pula mengambil masa sehingga empat jam sebelum operasi mencari dan menyelamat diadakan. Kehilangan pesawat berkenaan ketika berada diantara komunikasi dua negara mencetuskan kekeliruan yang besar,” kata Najib.

Berikut ialah artikel penuh yang ditulis beliau di dalam WSJ.

Pengajaran Malaysia Kehilangan Pesawat MH370

Tiada siapa tahu ia akan berlalu, dan tiada siapa menjangkakan di mana lokasinya. Itu adalah apa yang berlaku sekarang kepada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Kehilangan pesawat itu pada 8 Mac lepas adalah sebahagian daripada kejadian luar biasa yang berlaku dalam industri penerbangan dunia.

Dalam penerbangan biasa dari Kuala Lumpur ke Beijing, beberapa ketika selepas pihak kawalan trafik udara Kuala Lumpur menyerahkan kawalan kepada Ho Chi Minh City di Vietnam, sistem komunikasi pesawat dipadamkan.

Pesawat itu membuat satu pusingan berpatah balik ketika berada di ruang udara Semenanjung Malaysia melencong dari laluannya ke Beijing.

Ia kemudian terbang utara ke Selat Melaka dan kemudian membuat pusingan U di ruang udara Sumatera dan kemudian mengakhiri penerbangan di selatan Lautan Hindi, kira-kira setengah perjalanan ke Antartika. Perkataan yang sering digunakan untuk kejadian ini ialah luar biasa dan tidak pernah berlaku.

Turut tidak pernah berlaku ialah cara yang digunakan untuk mencari pesawat itu. Selepas ketiadaan langsung sebarang komunikasi antara pesawat seperti biasa, pasukan penyiasat antarabangsa yang turut disertai pakar penerbangan terpaksa menggunakan isyarat satelit “handshakes”, matemarik dan teknik yang begitu rumit yang tidak pernah digunakan untuk mengenalpasti lokasi pesawat.

Pasukan berkenaan berjaya mengenalpasti lokasi akhir MH370, dan lokasi telah pun dikecilkan di satu kawasan barat Australia. Bagaimanapun, dengan penggunaan minda yang paling cerdik, teknologi paling canggih, tugas mencari masih sesuatu yang besar.

Untuk mencari pesawat berkenaan, bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak boleh dilakukan dalam masa singkat.

Tragedi ini sudah pun mencetuskan rasa kesedihan dan keresahan kepada ahli keluarga penumpang yang menaiki pesawat berkenaan. Dengan ketiadaan sebarang bukti seperti serpihan, kejadian ini lebih sukar diterima oleh mereka.

Tanpa sebarang bukti fizikal atau penjelasan jelas mengapa perkata ini berlaku, perhatian orang ramai sudah pastinya akan terarah kepada pihak berkuasa dan kerajaan Malaysia yang akan menerima tumpuan dan kritikan.

Saya percaya Malaysia akan diberikan pujian kerana berusaha melakukan apa yang terbaik dalam sesuatu perkara yang hampir mustahil.

Tidak pernah dilakukan oleh negara seperti Malaysia yang bersaiz kecil untuk mengendalikan operasi mencari melibatkan urusan diplomatik dan ketenteraan sehingga berjaya menyelia 26 buah negara berbeza untuk menjalankan operasi mencari terbesar dalam dunia.

Bagaimanapun, kami tidak melakukan semuanya dengan tepat. Dalam beberapa hari di peringkat awal selepas pesawat berkenaan hilang, kami terlalu memberi fokus kepada usaha mencari pesawat berkenaan sehingga dilihat mengabaikan keutamaan komunikasi.

Selain itu, pihak kawalan trafik udara pula mengambil masa sehingga empat jam sebelum operasi mencari dan menyelamat diadakan. Kehilangan pesawat berkenaan ketika berada diantara komunikasi dua negara mencetuskan kekeliruan yang besar.

Bagaimanapun, operasi mencari pesawat MH370 bermula lebih awal berbanding kes kejadian melibatkan pesawat Air France, penerbangan 447 pada 2009.

Oleh itu, tempoh masa untuk bertindak akan disiasat secara terperinci.

Saya berjanji yang kerajaan Malaysia akan terus mencari pesawat itu selama mana pun diperlukan. Kita juga akan terus mengendalikan siasatan bebas untuk mempelajari daripada kesilapan kita. Kita telah pun memperketatkan keselamatan di lapangan terbang, dan kini pasukan penyiasat sedang melihat cara bagaimana untuk memperbaiki keselamatan dalam penerbangan.

Malaysia bukanlah satu-satunya pihak yang mesti belajar dari kejadian MH370. Terdapat pengajaran penting yang perlu diambil kira oleh industri penerbangan dunia.

Antara perkara paling menghairankan ialah pesawat sebesar MH370 iaitu jenis Boeing 777 boleh hilang tanpa sebarang jejak dan kesan.

Dalam era telefon bimbit pintar dan internet, sistem menjejaki pesawat dalam penerbangan secara langsung sepatutnya sudah pun dilaksanakan.

Dalam kejadian Air France 447 yang terhempas ke dalam Lautan Atlantik, penyiasat mencadangkan industri penerbangan memperkenalkan perubahan untuk membolehkan pasukan mencari mampu mengesan lokasi pesawat terhempas dengan segera.

Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada sebarang langkah yang diambil.

Laporan awal kehilangan pesawat MH370 dari Malaysia menyertakan sekali cadangan untuk satu sistem menjejaki pesawat yang lebih baik melibatkan pesawat komersial.

Minggu ini, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bermesyuarat di Montreal, Kanada. Satu daripada isu yang akan dibincang ialah sistem menjeak pesawat. Saya dengan kuat menggesa ahli ICAO untuk mengutamakan cadangan ini.

Kita juga mungkin boleh melihat keperluan untuk menukar sistem komunikasi pesawat yang dikenali sebagai Transponder dan Aircraft Communications Addressing and Reporting Systems (ACARS) supaya ia tidak boleh dimatikan ketika dalam penerbangan.

Pihak yang mempunyak kepentingan juga perlu melihat kemampuan kotak hitam pesawat atau perakam data penerbangan. Ketika ini, alat pengesan lokasi kotak hitam boleh menghantar isyarat berkaitan lokasinya hanya untuk 30 hari.

Kuasa baterinya kemungkinan boleh dilanjukan lagi kepada 90 hari, seperti yang dicadangkan Kesatuan Eropah (EU).

Jika alat pengesan itu mampu bertahan selama 90 hari berbanding hanya 30 hari, kemungkinan besar pasukan mencari telah berjaya mengesan pesawat itu hari ini.

Pada masa ini, kotak hitam pesawat hanya boleh merakamkan kira-kira dua jam perbualan di dalam kokpit, ia dilihat tidak mencukupi.

Jika kotak hitam pesawat MH370 ditemui nanti, maklumat penting komunikasi di dalam kokpit beberapa jam selepas pesawat berkenaan dikesan hilang tidak akan dapat diperolehi.

Dengan melihat telefon iPhone boleh merakamkan audio selama 24 jam, pastinya kotak hitam pesawat perlu mempunyai memori yang cukup untuk merekodkan komunikasi keseluruhan apapun penerbangan.

Alat penghantar isyarat penerbangan juga perlu ditambahbaik, ketika ini ia tidak begitu berfungsi dengan baik di dalam air.

Segala perubahan ini mungkin tidak mampu menghalang tragedi seperti MH370 dan Air France 447. Bagaimanapun ia akan menjadikannya sukar bagi sesebuah pesawat untuk hilang begitu sahaja dan sudah pasti ia akan dapat dikesan dengan lebih mudah.

Ia akan menjamin keselamatan orang ramai yang menaiki penerbangan dan juga mengurangkan risiko kejadian yang aneh dan luar biasa daripada berulang.

Industri penerbangan dunia tidak hanya perlu mengambil pengajaran dari kejadian MH370 tetapi melaksanakan perubahan, dunia mengambil pengajaran kejadian Air France tetapi hanya berdiam diri.

Jangan ulang kesilapan yang sama. 

NAJIB RAZAK

Sumber: Inbu Khisairy Aris / My News Hub

0 comments:

Post a Comment