Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, May 12, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR: Pasangan blogger kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee, yang menghadapi pertuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan, hari ini memperoleh pasport antarabangsa mereka bagi membolehkan mereka menjalani penggambaran dokumentari di Singapura.

Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Rashid Daud membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Chong Joo Tian, yang mewakili Tan dan Lee, supaya pasport itu diserahkan sementara kepada anak guamnya bagi tempoh 18 Mei hingga 3 Jun ini.

“Kedua-dua anak guam saya mendapat tawaran kerja di Singapura daripada syarikat Xtreme Media Pte Ltd dan mereka akan terbabit dalam penggambaran dokumentari yang berkisar tentang kehidupan mereka terdahulu di republik itu,” katanya

Beliau berkata pasangan itu tidak pernah melanggar syarat-syarat jaminan yang ditetapkan mahkamah sebelum ini.

Chong ketika membuat permohonan itu pada sebutan kes berkenaan hari ini, turut memohon perintah supaya kedua-dua anak guamnya dikecualikan daripada melaporkan diri di balai polis berhampiran pada 1 Jun ini, yang juga satu daripada syarat yang ditetapkan mahkamah sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan pihak pembelaan supaya pasport itu diserahkan sementara kepada kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, beliau memohon mahkamah mengenakan syarat supaya pasangan itu tidak memberi apa-apa komen tentang perjalanan kes yang dihadapi mereka kepada media Singapura.
Berhubung syarat yang dipohon pihak pendakwaan, Chong berkata, penggambaran itu berkisar tentang kehidupan Tan dan Lee di Singapura dan bukannya kehidupan mereka di Malaysia.

“Penggambaran itu tidak ada kena mengena dengan pertuduhan yang dihadapi mereka dan jika mahkamah membenarkan syarat yang dipohon pendakwaan, ia akan memprejudiskan anak guam saya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kedua-dua tertuduh dilarang memberi komen berkaitan perjalanan kes yang dihadapi mereka kepada media Singapura.

Dalam pada itu, Wan Shaharuddin memohon tarikh sebutan lain berikutan satu notis rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan di Mahkamah Rayuan pada 21 April lalu yang menggugurkan satu daripada tiga pertuduhan yang dihadapi pasangan itu mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Jun depan untuk sebutan semula kes itu.

Mengikut pertuduhan, Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 26, dan Vivian atau Lee May Ling, 25, didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook ‘Alvin and Vivian-Alvivi’ di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers, mengikut Akta Hasutan 1948.

Ia mengandungi gambar dan komen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh… wangi, enak, menyelerakan !!!)’ yang mengandungi logo halal antara 11 dan 12 Julai tahun lalu di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2, di sini.

Bak Kut Teh atau bermaksud ‘teh tulang dan daging’ adalah sejenis masakan kaum Cina yang mengandungi tulang rusuk babi.

Mereka turut berdepan pertuduhan mempamer gambar lucah di https://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama antara 6 dan 7 Julai tahun lalu mengikut Akta Penapisan Filem 2002.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment