SERI ISKANDAR – Seorang lelaki ditahan polis kerana memiliki empat senapang angin yang mendakwa menyimpannya sebagai hobi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di Kampung Kubang Ikan, Titi Gantong di sini pada 14 Mei lalu.
Menurutnya, lelaki berusia 35 tahun yang bekerja sebagai pengimpal dipercayai itu membuat sendiri senapang berkenaan menggunakan kayu dan besi.
“Menerusi maklumat awam, kita telah menyerbu rumah suspek dan menjumpai empat senapang angin yang disorok di belakang almari di rumahnya.
“Hasil siasatan mendapati tiga daripada senapang berkenaan adalah buatan sendiri manakala satu lagi dibeli dari negara jiran dengan harga RM350,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Mohamad Fakri berkata, senapang yang menggunakan peluru daripada besi dan guli itu dipercayai digunakan untuk memburu ayam hutan serta burung.
“Menurut suspek, dia menyimpan senapang itu sebagai hobi dan kadangkala digunakan untuk memburu ayam hutan atau burung.
“Namun, penggunaan senapang berkenaan adalah salah di sisi undang-undang kerana kita khuatir ada pihak menyalahgunakannya,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan suspek direman bermula 14 hingga 20 Mei depan untuk siasatan lanjut.
Sumber: Sinar Online
0 comments:
Post a Comment