Keadaan rumah Maarif musnah terbakar, malam kelmarin |
KUALA PILAH – “Habis semua barang peninggalan arwah isteri," luah Maarif Ahmad, 72, yang sedih selepas mendapati barang seperti pinggan mangkuk antik berbunga kangkung hangus dalam kebakaran di Kampung Masjid, dekat sini malam kelmarin.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada panahan petir berikutan ia berlaku ketika hujan lebat.
Menurut Maarif, waktu kejadian, dia tiada di rumah kerana pergi ke Seremban bersama menantunya menziarah cucu baru dilahirkan.
Bagaimanapun, katanya, dia mendapat panggilan kira-kira 7.30 malam, ketika itu sudah berada di rumah ibunya Kampung Tanjung Beringin dekat sini.
“Kami semua sudah pulang dari Seremban, tapi singgah sekejap di rumah emak pakcik di Kampung Tanjung Beringin.
“Dalam sedap berbual, saya terkejut dengan panggilan kecemasan dari jiran menyatakan rumah saya terbakar.
"Saya terus balik bersama menantu (Syarifful Rizal Zainin, 37) dan setibanya di rumah, keadaan api sedang marak disebabkan bahagian diperbuat daripada kayu, manakala bahagian ruang tamu dinding batu,” katanya yang reda dengan kejadian tersebut.
Maarif berkata, rumahnya yang berusia 20 tahun hangus seratus peratus tanpa berjaya menyelamatkan perkakas rumah termasuk dokumen penting.
“Saya sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana semua barang-barang termasuk pakaian hangus dijilat api.
“Kerugian dianggarkan bernilai RM60,000. Walaupun rumah sudah tiada, tetapi saya sekeluarga bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya akan menumpang sementara di rumah ibunya di Kampung Tanjung Beringin.
Sementara itu, Syarifful berkata, kira-kira 6.30 petang kelmarin, dia pulang ke rumah untuk memberi makanan kepada ternakan dan keluar semula.
“Waktu itu, keadaan rumah masih elok dan tidak menyangka perkara buruk akan menimpa kami. Jiran ada maklumkan, waktu kejadian hujan lebat sekali dengan petir.
“Bila dentuman petir, tidak lama kemudian, jiran mendapati rumah saya telah terbakar dan dipercayai berpunca dari kawasan dapur,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Jaafar Yusof berkata, sebuah jentera membabitkan enam anggota bomba dan penyelamat berjaya mengawal kebakaran api dari merebak ke rumah mesra rakyat itu, yang jarak hanya 10 meter sahaja.
“Ketika bomba tiba di tempat kejadian, api sudah marak dengan 80 peratus. Kita mengalami kesulitan melakukan kerja-kerja pemadaman api berikutan kampung itu tiada sumber air dan pili bomba.
“Bagaimanapun api berjaya dipadam dalam tempoh 30 minit,” katanya sambil memberitahu punca kejadian masih dalam siasatan.
Sumber: Sinar Online
0 comments:
Post a Comment