Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor hari ini berkata Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau Sosma, tidak sekuat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam membendung gerakan militan di negara ini.
Beliau berkata, Sosma, akta yang juga membenarkan penahanan tanpa bicara, hanya membenarkan pihak berkuasa menahan individu disyaki yang berkait rapat dengan aktiviti melanggar keselamatan negara, berbeza dengan ISA yang membenarkan seluruh pergerakan dipantau.
"ISA tidak menahan individu tertentu, ia mengatasi seluruh pergerakan maknanya keseluruhan dan siapa sahaja yang terlibat kita akan memerhati perkembangan dan menahan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Barisan Perpaduan Nasional di Kuala Lumpur.
Abdul Rahim, yang meletak jawatan selepas didapati bersalah menyerang bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, berkata beliau pernah berbincang dengan bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, untuk menghidupkan semula ISA.
"Saya ada berbincang mengenai itu, juga bersama beberapa ahli Barisan Perpaduan Nasional dan majoritinya bersetuju ISA dikembalikan," katanya.
Terdahulu dalam mesyuaratnya, Barisan Perpaduan Nasional mengumumkan akan membentangkan memorandum kepada Putrajaya bagi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Abdul Rahim, sekiranya ISA tidak dikembalikan, Putrajaya perlu mempertimbangkan akta menyamainya.
Bagaimanapun beliau mengakui dengan perkembangan kegiatan gerakan militan, ia tidak dapat dibanteras secara akar umbi dengan hanya memakai ISA atau mana-mana undang-undang di negara ini.
"Pendapat saya adanya ISA atau tidak gerakan seperti ini akan tetap ada, selagi ada umat Islam di negara ini dan selagi ada masalah di negara Islam," katanya.
Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata sembilan anggota kumpulan militan berusia antara 22 hingga 55 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Kedah dan Selangor. Mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan militan membantu pemberontak di Syria.
Abdul Rahim berkata, ISA berjaya melumpuhkan kegiatan kumpulan Al-Arqam.
"Kerana ISA kita berjaya 'sapu bersih' kegiatan Al-Arqam dan sekarang pun hanya tinggal sisa-sisa," katanya, sambil menyatakan kekesalan dengan pemansuhan ISA atas dasar hak asasi manusia.
"Di bawah ISA ada peruntukkan khas memberi kuasa kepada pihak berkuasa membuat tindakan dengan cepat, namun kerana elemen kononya memperjuangkan hak asasi maka ia dimansuhkan," tambah beliau.
Sosma diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April, 2012, dan diwartakan pada 22 Jun 2012.
Akta itu dikritik hebat oleh Ahli Parlimen pembangkang yang berkata ia cuma penukaran nama kepada ISA. – 4 Mei, 2014.
- Themalaysianinsider
0 comments:
Post a Comment