Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, May 18, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Pelari jarak sederhana Australia, Darren Wilson memecahkan dominasi atlet Kenya apabila mengungguli kategori terbuka lelaki Cabaran Towerton Antarabangsa Menara Kuala Lumpur (Menara KL) yang berlangsung di sini hari ini.

Wilson, 39, menamatkan cabaran pendakian 2,058 anak tangga dalam masa 12 minit 23.84 saat untuk membawa pulang wang tunai RM3,000; piala, sijil dan pingat emas selain pelbagai hadiah sampingan lain.

Dua peserta Kenya iaitu Enock Kipchirchir Kigen dan Alex Kipkorit masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 13:16:38s serta 13:46:83s.

Naib juara hingga peserta di tangga kelima masing-masing menerima RM2,000; RM1,000; RM800 dan RM700 manakala bagi tempat keenam hingga ke-10 membawa pulang hamper barangan Adabi dan hamper makanan bernilai RM50.

Carolyne Jepkosgei Chepkwony dari Kenya menguasai kategori wanita dengan catatan 16:53:63 saat sementara atlet triatlon negara Kimbeley Yap Fui Li di tempat kedua (18:09:24s), diikuti seorang lagi peserta tempatan Tan Mei Wai (21:03:39s) di tempat ketiga.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL Datuk Zuraidah Mohd Said menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan, Wilson berkata beliau sangat gembira dengan kemenangannya memandangkan ini kali pertama menyertai pertandingan di negara ini.

Bapa kepada tiga anak lelaki itu berkata beliau pernah menyertai beberapa perlumbaan termasuk Maraton Empire State yang diadakan setiap tahun di New York, Amerika Syarikat, namun tidak pernah muncul juara.

“Saya gembira menang hari ini. Memang berbaloi dengan latihan yang saya lakukan selama ini,” katanya yang aktif menyertai separa maraton sejak 10 tahun lepas.

Sementara itu, Yap berkata beliau tidak menduga dapat menamatkan perlumbaan di tempat kedua memandangkan hanya menyertai pertandingan tersebut untuk berseronok.

“Memang memeranjatkan namun ini satu pengalaman yang bagus dan satu kelainan memandangkan selama ini saya terlibat dalam acara triatlon,” kata Yap.

Hampir 3,500 peserta tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam acara yang memerlukan mereka mendaki 2,058 anak tangga menara itu, bermula di kawasan terbuka tempat letak kenderaan dan berakhir di Dewan Bankuet Mega View yang terletak 288 meter dari aras laut.

Perlumbaan bermula 5 pagi melibatkan lapan kategori iaitu Terbuka Lelaki dan Wanita (18-39 tahun); Junior Veteran Lelaki (40-49); Senior Veteran Lelaki (50 tahun ke atas); Veteran Wanita (35 tahun ke atas), Kanak-kanak Lelaki dan Perempuan Junior (13-17) dan kategori Kurang Upaya (18 tahun ke atas).

Sumber: BH

0 comments:

Post a Comment